SHAH ALAM, 30 Ogos  — Lembaga Permasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor akan membuka enam lagi pasar tani di negeri itu sebagai tambahan kepada 43 pasar tani yang beroperasi sejak 16 Ogos lepas.

Pengarah FAMA Selangor Abdul Rashid Bahri berkata agensi itu kini sedang mengumpul para usahawan untuk berniaga di pasar tani berkenaan.

“Segala urusan dengan pihak berkuasa tempatan kita telah selesaikan, malah lokasi juga telah ditetapkan, kini hanya tinggal pendaftaran untuk para usahawan. Kita yakin bulan depan kita akan dapat beroperasi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Hari Kebangsaan Ke-63 di Pasar Tani Stadium Shah Alam, di sini hari ini.

Menurut beliau, tiga daripada pasar tani baharu itu terletak di daerah Petaling, dua kawasan di Sepang dan satu di Kuala Langat.

Mengenai Pasar Tani Stadium Shah Alam, Abdul Rashid berkata pasar tani setiap Ahad yang mempunyai 200 tapak niaga itu telah beroperasi untuk minggu ketiga.

“Pada hari ini ada seramai 180 peniaga yang beroperasi, kita (FAMA) yakin pada minggu depan semua usahawan yang berdaftar akan mula berniaga melihat kepada sambutan para pengunjung di lokasi baharu ini di perkarangan kawasan letak kereta Stadium Shah Alam,” katanya.

Mengulas mengenai pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan hingga 31 Dis tahun ini, Abdul Rashid berkata FAMA Selangor akan mempergiatkan lagi usaha memasarkan hasil-hasil petani dan penternak melalui pasar taninya.

“Melihatkan keadaan ekonomi yang semakin bagus dengan semakin ramai berkunjung ke pasar tani Fama, para petani dan penternak tidak akan mempunyai masalah untuk memasarkan hasil mereka,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here