BANGKOK,2 Sept — Kedutaan Malaysia di Bangkok akan menganjurkan beberapa jamuan dalam skala kecil di Hotel Shangri-La di sini bagi mempromosikan hidangan negara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63.

Pada kebiasaannya, kedutaan negara menganjurkan sambutan Hari Kebangsaan dengan mengadakan jamuan hidangan istimewa dan persembahan tradisional yang diraikan bersama pegawai kanan, pegawai diplomatik dan masyarakat Malaysia-Thai di sini.

Bagaimanapun, susulan pandemik COVID-19, Duta Malaysia ke Bangkok Datuk Jojie Samuel akan mengadakan beberapa jamuan berskala kecil bagi membolehkan orang ramai menikmati juadah istimewa Malaysia.

Jojie berkata selain mempromosikan juadah Malaysia kepada tetamu di Thailand, penganjuran majlis itu juga membolehkan pertemuan secara bersemuka dan juga sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang banyak membantu ketika dalam keadaan sukar.

“Seperti yang dapat dilihat, kami menyambutnya dalam suasana berbeza tahun ini, selaras dengan kebiasaan baharu susulan pandemik COVID-19.

“Malangnya, tahun ini, kami tidak dibenarkan mengadakan sambutan berskala besar. Kami sedar bahawa misi diplomatik juga bertanggungjawab membantu mencegah penularan COVID-19 di Thailand.

“Saya akan menjadi tuan rumah kepada pegawai kanan kerajaan Thai, termasuk pengerusi Kumpulan Persahabatan Parlimen Thailand-Malaysia. Ketua-ketua jabatan seperti Pertahanan, Ekonomi, Perdagangan, Pertanian, Pelancongan dan Badan Perhubungan Keselamatan juga akan menerima kunjungan rakan sejawat mereka,” katanya pada pra-pelancaran Festival Makanan Malaysia semalam.

Menurut beliau, Festival Makanan Malaysia adalah sebahagian daripada kempen pertukaran budaya.

Dengan kerjasama Hotel Shangri-La, Festival Makanan Malaysia akan menyajikan enam juadah popular rakyat Malaysia iaitu Rojak, Sate, Nasi Lemak Ayam, Kari Ikan, Mi Wantan Udang, Mi Kari dan Cendol untuk hiadangan tengah hari dan makan malam, bermula 4 hingga 20 Sept.

Festival Makanan Malaysia adalah kemuncak sambutan Bulan Kebangsaan. Kedutaan Malaysia turut menganjurkan ‘Merdeka Fun Ride’ di Happy and Healthy Bike Lane di Samut Prakan, Golf Merdeka di Amata Spring Country Club, Hari Kanak-kanak Patriotik dan Upacara Menaikkan Bendera pada Hari Kebangsaan.

Sementara itu, Jojie berkata Malaysia dan Thailand turut meraikan ulang tahun hubungan diplomatik ke-63.

“Malaysia dan Thailand adalah rakan ketika senang dan susah. Pada saat semua berperang melawan pandemik, kedua-dua negara juga saling membantu terutama dalam usaha membawa pulang rakyat negara masing-masing.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan kepada Thailand atas segala kerjasama yang diberikan kepada kami, dan tahniah Thailand kerana berjaya mencatat sifar penularan tempatan sejak Mei,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here