KUALA LUMPUR, 2 Sept — Walaupun saham penjagaan kesihatan menarik perhatian pelabur semasa pandemik COVID-19, beberapa penganalisis telah meluaskan tumpuan mereka kepada saham lain dengan potensi peningkatan yang kukuh.

Antaranya ialah MyEG Services Bhd, penyedia perkhidmatan kerajaan elektronik.

CGS-CIMB Securities Sdn Bhd menjangka harga saham MyEG meningkat 25 peratus lagi dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dengan sasaran RM1.80 berikutan aliran pendapatan yang kukuh secara berterusan daripada perkhidmatan berkaitan pekerja asingnya.

Paling ketara bagaimana harga saham MyEG meningkat dua kali ganda daripada paras terendah pada tahun ini sebanyak 76.5 sen semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac, kepada RM1.48 pada 20 Mei walaupun terdapat penurunan yang mendadak dalam pemprosesan permit pekerja asing baharu dan pembaharuan permit sepanjang tempoh dua bulan sekatan pergerakan.

Ia ditutup rendah tiga sen kepada RM1.46 semalam.

CGS-CIMB turut melihat saham MyEG yang dijangka menjejaki semula paras tertinggi dalam tempoh lima tahun pada RM2.90 jika syarikat itu dilihat sebagai peneraju utama, meraih sebahagian atau semua projek Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe) bernilai kira-kira RM5 bilion.

Penganalisis lain yang positif terhadap MyEG termasuklah MIDF Research, Kenanga Research dan Rakuten Trade Research, menunjukkan saham “berada di ambang potensi mencecah harga lebih tinggi berbanding harga tertinggi sebelumnya”.

Walaupun tanpa NIISe, terdapat beberapa perkembangan positif untuk MyEG baru-baru ini, terkini ialah memansuhkan sebahagian daripada pembekuan ke atas pengambilan pekerja asing hingga akhir tahun berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Kerajaan kini membenarkan majikan untuk mengambil semula pekerja asing yang kehilangan pekerjaan baru-baru ini tetapi masih menetap di Malaysia dengan permit kerja yang sah dalam sektor yang sama, sekali gus memulihkan aliran pendapatan utama untuk MyEG.

CGS-CIMB juga berkata kumpulan MyEG telah menunjukkan peningkatan urus niaga saham pasaran perkhidmatan dalam talian untuk Jabatan Pengangkutan Jalan dan perkhidmatan berkaitan Imigresen yang akan mengimbangi penurunan dalam proses perkhidmatan pengambilan.

Baru-baru ini, MyEG memulakan kerjasama dalam perkongsian data dengan Jabatan Tenaga Kerja untuk tujuan pemantauan dan penguatkuasaan berkaitan saringan COVID-19 untuk pekerja asing.

Ini akan meningkatkan potensi untuk MyEG memanfaatkan portal sehenti COVID-19nya, merupakan saluran alternatif untuk majikan mendaftar dan mengatur ujian untuk pekerja mereka dengan harga RM150 setiap ujian.

“Kami mendapati bahawa MyEG telah melakukan kira-kira 100,000 ujian COVID-19 yang telah ditempah melalui portalnya.

“MyEG menyasarkan untuk melaksanakan 500,000 saringan ujian COVID-19 pada 2020,” menurut CGS-CIMB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here