PUTRAJAYA, 4 Sept– Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini menekankan kepentingan 3W – warisan, wawasan, kewiraan – untuk dijiwai setiap masyarakat dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju.

Ketika merasmikan program Tanjak Merdeka di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini, Saifuddin berkata pembangunan negara harus ada keseimbangan antara nilai-nilai tradisi, sains, teknologi dan inovasi.

“Harus ada keseimbangan dalam menjadikan negara ini maju dengan segala bentuk teknologi terkini tetapi ia harus berakar kepada paksi yang kukuh dan antaranya tradisi dan warisan bangsa,” katanya kepada pemberita pada program bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020.

Program Tanjak Merdeka anjuran bersama KKMM dan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) mempamerkan pelbagai jenis tanjak Raja-raja Melayu.

Antaranya tengkolok Sultan Kedah, tanjak Perak (tengkolok Ayam Patah Kepak), tanjak Pahang (tanjak Lang Menyongsong Angin), tanjak Selangor (Setanjak balung Raja) dan tanjak Perlis (tengkolok Dendam Tak Sudah).

Saifuddin berkata program Tanjak Merdeka itu signifikan untuk masyarakat memahami 3W iaitu jiwa warisan, wajah wawasan iaitu jendela ke masa hadapan dan langkah kewiraan supaya rakyat melangkah sebagai wira.

Beliau berkata program itu bertujuan menyemarakkan semangat dan jiwa merdeka, mewujudkan semangat cintakan negara, menyuntik elemen seni warisan tanjak dalam merdeka, dan mengeratkan hubungan sesama warga kementerian menerusi aktiviti riadah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here