KUCHING, 4 Sept — Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata beliau mempunyai pelbagai inisiatif lain untuk meningkatkan pendapatan negeri  selepas berjaya mendapatkan pendapatan tambahan daripada lima peratus cukai jualan negeri (SST) yang dikuatkuasakan ke atas produk petroleum.

Katanya beliau secara peribadi berpendapat masa depan ekonomi Sarawak adalah amat cerah menerusi model pembiayaan baharu yang beliau sedang laksanakan.

“Lebih banyak lagi yang saya akan laksanakan tetapi saya tidak boleh dedahkan sekarang, apa yang kami boleh lakukan untuk meningkatkan pendapatan negeri. Saya fikir rakan-rakan saya (dalam Kabinet negeri) tahu yang saya mempunyai visi tetapi kami perlu ada kekuatan dan saling bekerjasama untuk menyediakan kemudahan kepada generasi muda kita.

“Kami akan dapat membelanjakan wang untuk membangunkan bekalan air dan elektrik dan membina jaringan jalan raya, dan untuk perkhidmatan sosial dan ia (perbelanjaan) tidak menjejaskan rizab negeri,” katanya pada majlis penyampaian geran untuk projek pembinaan asrama komuniti Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini.

Jumlah awal sebanyak RM6.75 juta yang diserahkan oleh Abang Johari itu adalah sebahagian daripada RM16 juta yang dijanjikan awal tahun ini untuk projek itu. Asrama itu akan dibina berhampiran ibu pejabat DBNA di Jalan Ong Tiang Swee. Baki geran itu akan diserahkan dalam tempoh enam bulan akan datang.

Bangunan asrama sembilan tingkat itu, antara lain akan dilengkapi galeri, dewan dan 98 bilik asrama yang boleh menempatkan 196 orang. 

Pembinaan bangunan ikonik bagi masyarakat Bidayuh itu dijangka bermula Januari 2021 dan siap dalam tempoh dua tahun.

Abang Johari berkata Bidayuh, sebagai antara komuniti minoriti di Sarawak, patut mengekalkan kedudukannya sebagai kumpulan etnik yang banyak mencatatkan pencapaian cemerlang.

“Walaupun masyarakat Bidayuh adalah kecil, mereka sangat efektif dan banyak pemimpin korporat terkemuka adalah daripada kaum ini, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Petroleum Sarawak Bhd (Petros) Saau Kakok,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here