KUALA LUMPUR, 7 Sept — Nilai dagangan Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu mulai bulan Mac hingga Julai, 2020, menyusut sebanyak 10.3 peratus kepada RM700.74 bilion disebabkan oleh penurunan eksport dan import, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Menurutnya eksport dan import masing-masing menurun sebanyak 9.5 peratus dan 11.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019.

“Bagaimanapun, imbangan dagangan pada ketika ini masih mencatatkan lebihan dengan peningkatan marginal sebanyak satu peratus kepada RM65.07 bilion berbanding RM64.45 bilion dalam tempoh yang sama pada 2019,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan Senator Lim Hui Ying yang ingin tahu mengenai apakah kesan akibat PKP kepada imbangan dagangan Malaysia.

Mohamed Azmin berkata bagi tempoh Mac hingga Julai 2020, kesemua kategori utama import iaitu barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan telah merekodkan penurunan import.

Dalam tempoh itu juga, penurunan eksport turut dicatatkan bagi hampir kesemua sektor utama khususnya barangan elektrik dan elektronik, keluaran petroleum, petroleum mentah, barangan perkilangan logam dan gas asli cecair, katanya.

Beliau berkata penurunan eksport itu disebabkan sekatan operasi yang dikenakan kepada kebanyakan sektor utama semasa tempoh PKP.

“Penyusutan eksport ini telah dijangka memandangkan kebanyakan negara di seluruh dunia terbabit dalam sekatan pergerakan bagi membendung penularan pandemik COVID-19. Ia telah menjejaskan aktiviti pembuatan serta rangkaian bekalan di peringkat global,” katanya.

Bagaimanpaun, Mohamed Azmin berkata kesan pemulihan telah dapat dilihat di mana prestasi eksport melonjak sebanyak lapan peratus pada bulan Jun 2020 berbanding bulan sama pada 2019.

“Momentum pemulihan terus direkodkan pada bulan Julai 2020, eksport pada bulan itu mencatatkan kenaikan sebanyak 3.1 peratus berbanding bulan Julai 2019. Imbangan dagangan pula turut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, pada bulan Jun, ia meningkat sebanyak 88.5 peratus dan terus melonjak sebanyak 57.5 peratus pada Julai.

“Nilai lebihan dagangan pada bulan Julai iaitu RM25.15 billion merupakan nilai bulanan tertinggi dicatatkan sejak tiga dekad yang lepas,” katanya.

Selain itu, eksport meningkat dilihat terutamanya bagi sektor keluaran getah bagi tempoh Mac hingga Julai 2020, eksport sarung tangan getah naik sebanyak 65.5 peratus disokong oleh permintaan tinggi di pasaran global berikutan penularan COVID-19.

Secara keseluruhannya, bagi tempoh Januari hingga Julai 2020 nilai perdagangan negara menyusut sebanyak 6.8 peratus kepada RM993.22 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019.

Eksport bagi tempoh tersebut pula menurun 6.2 peratus kepada RM541.47 bilion dan import berkurangan sebanyak 7.4 peratus kepada RM451.75 bilion.

Dalam pada itu, lebihan dagangan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.8 peratus kepada RM89.72 bilion berbanding RM88.98 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama pada 2019.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here