KOTA KINABALU, 11 Sept — Cabaran pandemik COVID-19 menuntut warga akademik membuat lebih banyak penyelidikan, khususnya dalam usaha membantu memulihkan ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata walaupun pada prinsipnya, ahli akademik wajib menjalankan penyelidikan untuk meneroka ufuk ilmu dan membina kepakaran, namun masih banyak ruang dalam penyelidikan yang boleh dikembangkan untuk manfaat masyarakat awam.

“Dalam konteks ini, hala tuju penyelidikan ahli akademik perlu sejajar, dengan cabaran dan mengupas persoalan dihadapi komuniti setempat, bangsa dan masyarakat sejagat.

“Ahli akademik perlu mengubah corak pemikiran dari ‘ilmu untuk ilmu’ kepada ‘ilmu untuk masyarakat dan negara’.

“Cabaran-cabaran semasa yang sedang kita hadapi, termasuk pandemik COVID-19, usaha pemulihan ekonomi dan melaksanakan pelbagai agenda kerajaan seperti keselamatan, kesihatan, pelancongan dan kemakmuran. Kesemua ini merupakan antara cabaran yang perlu diberi perhatian, khususnya warga akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Sabah dan menyampaikan tawaran program dermasiswa ‘MyBrighter Future’ Yayasan Tenaga Nasional di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Datuk Seri Mahdzir Khalid, serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here