GEORGE TOWN, 26 Sept — Syarikat penyelesaian konvergen terkemuka Malaysia, Maxis telah diiktiraf sebagai rakan teknologi yang dipercayai oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk inisiatif negeri pintarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut hari ini berkata kerjasama antara kedua-dua pihak yang memberi tumpuan kepada dua bidang berkaitan adalah selaras dengan rangka tindakan wawasan Pulau Pinang2030 bagi mengukuhkan kesalinghubungan dan infrastruktur digital negeri ini. 

Katanya, dua bidang tumpuan itu termasuk projek perintis Internet Pelbagai Perkara (IoT) Bandar Pintar 5G serta penubuhan Makmal Inovasi IoT pertama Pulau Pinang.

“Projek perintis IoT ini merangkumi penempatan penyelesaian bandar pintar dalam pelbagai sektor di negeri ini seperti keselamatan, pendidikan dan pertanian, dalam usaha mengketengahkan potensi kemajuan teknologi ke arah cita-cita digital kerajaan negeri.

“Kami menyasarkan untuk menyiapkan siri-siri projek perintis ini dalam tempoh dua tahun,” katanya kepada media di Fasa Kedua Perpustakaan Digital Pulau Pinang di sini.

Tambahnya, Makmal Inovasi IoT Pulau Pinang masih dalam perbincangan dengan kerajaan negeri.

Terdahulu hari ini, Ketua Segmen Kerajaan Maxis, Senthil Balan mewakili Maxis dalam menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan Pulau Pinang untuk diiktiraf sebagai rakan teknologi yang dipercayai kerajaan negeri.

Kerajaan negeri pula diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan Negeri Datuk Abdul Halim Hussain serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar. 

Majlis pemeteraian MoU itu turut disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Maxis, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Sementara itu, Chow dalam ucaptamanya berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan tertutup dengan Maxis dan ditawarkan cadangan untuk bersama dengan pelan strategik Pulau Pinang2030. 

“Kami mengalu-alukan usaha dan kerjasama Maxis di Pulau Pinang dan saya percaya kami akan mendapat banyak manfaat dalam kerja-kerja kerjasama dan penyertaan transformasi digital ini,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here