KOTA KINABALU,1 Okt: Kerajaan negeri memperuntukkan RM50 juta bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 serta membantu rakyat yang terjejas akibat wabak itu.

Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor berkata, daripada jumlah itu, RM10 juta akan disalurkan untuk bakul makanan kepada penduduk di 4 daerah yang terbabit dalam perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB).

Katanya, 4 daerah terbabit ialah Tawau, Lahad Datu, Semporna dan Kunak.

“Semua pengurusan berkaitan isu-isu Covid-19 akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri.

“Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri, timbalan pengerusi oleh pengarah kesihatan negeri dan ahlinya oleh agensi negeri dan persekutuan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajiji berkata, Sabah Covid-19 Command Centre yang sebelum ini ditubuhkan, dimansuhkan dan peranannya dimasukkan di bawah jawatankuasa bencana negeri.

Terdahulu, Hajiji mempengerusikan mesyuarat pertama jemaah menteri kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di pusat pentadbiran negeri Sabah (PPNS) di sini.

Mesyuarat yang bermula pukul 10.30 pagi tadi turut dihadiri 3 timbalan ketua menteri iaitu Bung Mokhtar Radin, Jeffrey Kitingan dan Joachim Gunsalam.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jahid Jahim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here