PETALING JAYA, 5 Okt : Ahli ekonomi beri amaran bonus penjawat awam yang tidak berdasarkan merit akan cenderung menanam sikap mudah puas hati, kerja yang tidak berapa baik, dan tiada persaingan.

Prof Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata sistem bonus berdasarkan merit norma di sektor swasta, dan berkata sistem seperti itu harus dilaksanakan di sektor awam bagi mendorong penjawat awam.

“Akan ada sikap mudah puas hati kalau prestasi yang baik tidak dibalas dengan ganjaran,” katanya.

Seorang ahli ekonomi yang pernah berkhidmat selama 28 tahun di Perbendaharaan, Ramon Navaratnam, berkata penjawat awam harus “belajar bersaing untuk ganjaran” seperti rakan mereka di sektor swasta.

Dua ahli ekonomi itu membantah kenyataan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat minggu lepas berkata dasar seperti itu mungkin menjadikan penjawat awam di sektor tertentu tidak bermotivasi berbanding sektor yang mendapat bonus lebih tinggi.

Katanya, sektor perkhidmatan awam harus dilihat bergerak sebagai suatu pasukan yang besar dan bukan “one man show”.

“Pemberian bonus secara sama akan menanam sikap mudah puas hati,” jawab Navaratnam. Sebaliknya, beliau menyarankan sistem bonus berdasarkan merit bagi mereka yang dapat lebih daripada bonus setengah bulan.

Tambahnya, skim bonus itu juga harus berdasarkan “Bell Curve” yang digunakan ahli ekonomi.

“Dengan ‘Bell Curve’, prestasi kerja 5% teratas akan dapat ganjaran terbanyak walau apapun pangkatnya. Prestasi kerja 5% terbawah akan dapat sedikit atau tiada bonus, dan prestasi kerja sederhana akan dapat ganjaran sederhana. Itu barulah adil!”

Kenyataan Cuepacs itu menjawab Kongres Persatuan Akademik Malaysia yang mencadangkan pemberian bonus kepada penjawat awam dilaksanakan mengikut merit dan sektor perkhidmatan.

Adnan berkata penetapan merit adalah subjektif dan sekiranya pemberian diberi mengikut sektor, ia memberi gambaran seolah-olah sektor tertentu tidak begitu penting berbanding sektor yang dapat bonus lebih tinggi.

Shankaran Nambiar setuju bukan mudah untuk meletakkan sektor tertentu lebih tertinggi berbanding sektor lain.

Namun, setiap jabatan mempunyai indeks petunjuk prestasi masing-masing yang boleh digunakan untuk menilai prestasi individu.

“Sudah tentu boleh mengukur pencapaian di peringkat individu,” katanya. “Masalah lebih mendesak adalah bagaimana mengurangkan saiz perkhidmatan awam. Mengurangkan bilangan kakitangan juga akan mengurangkan pembayaran pencen,” katanya.

Adnan minggu lepas memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dalam bentuk gaji bulanan dan tidak lagi secara bantuan khas dalam Belanjawan 2021.

Navaratnam berkata ketika ekonomi meleset – dengan KDNK menguncup 17.1% pada suku kedua 2020 – bonus yang lebih rendah penting untuk Belanjawan.

“Kita mesti tunjukkan prinsip pengurusan fiskal yang baik ketika ini. Apabila ekonomi bertambahbaik, lebih banyak bonus boleh diberikan,” kata Navaratnam, bekas ketua setiausaha Perbendaharaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here