PUTRAJAYA, 8 Okt — Malaysia membentangkan kemajuan dan pembangunan draf Pelan Tindakan ASEAN mengenai Norma Pelaksanaan Tingkah Laku Negara yang Bertanggungjawab di Ruang Siber pada sesi utama Persidangan Menteri-menteri ASEAN mengenai Keselamatan Siber (AMCC) kelima, yang diadakan secara maya semalam.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Md Shah Nuri Md Zain mengambil bahagian dalam sesi utama dan khas AMCC.

“Malaysia, melalui NACSA, bekerjasama erat dengan Singapura, melalui Cyber ​​Security Agency of Singapore (CSA), dalam memimpin inisiatif untuk membangunkan pelan tindakan serantau bagi memastikan pelaksanaan norma-norma ini secara efektif dan praktikal,” jelasnya.

Menurut KKMM, negara-negara anggota ASEAN telah menyatakan sokongan mereka terhadap peraturan, norma dan prinsip-prinsip tingkah laku bertanggungjawab antarabangsa yang terdapat dalam laporan konsensus Kumpulan Pakar Kerajaan mengenai Pembangunan dalam Bidang Maklumat dan Telekomunikasi bagi Konteks Keselamatan Antarabangsa (UNGGE).

“Terdapat 11 norma yang telah dipersetujui dan disarankan dalam Laporan Akhir UNGGE 2015,” katanya.

AMCC adalah mesyuarat tahunan yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan Penerangan Singapura (MCI) bersama CSA sempena Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW).

Sesi utama AMCC, yang diadakan dalam sesi tertutup, melibatkan penyertaan para menteri ICT dan keselamatan siber ASEAN.

Sesi utama adalah dialog peringkat menteri yang menyediakan platform untuk membincangkan isu-isu keselamatan siber utama dan melengkapkan usaha ASEAN yang ada dalam memupuk kerjasama keselamatan siber antara negara-negara anggota.

Sesi khas AMCC pula melibatkan penyertaan Rakan Dialog ASEAN, selain dari negara-negara anggota ASEAN untuk membincangkan masalah keselamatan siber yang berkaitan dengan COVID-19.

Bertemakan “Kerjasama dalam Masa Depan Pasca-COVID”, SICW 2020 dianjurkan oleh Singapura sebagai gabungan pertemuan fizikal dan maya yang saling berkaitan yang membolehkan pemimpin utama dari kerajaan, industri, akademik dan organisasi bukan kerajaan meneroka masa depan kerjasama dunia siber dari perspektif yang lebih luas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here