KUALA LUMPUR, 9 Okt: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengenal pasti 30 kes melibatkan tuntutan palsu dan salah guna dana program subsidi upah (PSU) sejak ia diperkenalkan Mac lalu, kata ketua eksekutifnya Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Beliau berkata, kes yang dikenal pasti membabitkan syarikat, antaranya di Kedah, Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kita (Perkeso) memandang serius dan ambil perhatian akan perkara ini serta bekerjasama dengan pihak berkuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan undang-undang.

“Daripada 30 kes itu, Kedah mempunyai 8 kes, Selangor (6), Kuala Lumpur (5), Perak (3), Johor dan Pahang masing-masing 2 kes manakala Kelantan, Sarawak, Sabah dan Pulau Pinang masing-masing 1 kes. Kita jangka banyak lagi kes bakal dikenal pasti,” katanya pada sidang media di Menara Perkeso hari ini.

Justeru, Azman menggesa majikan yang membuat tuntutan palsu atau menghantar maklumat tidak tepat tampil secara sukarela atau menghubungi Perkeso bagi memulangkan semula dana yang diterima seperti PSU, insentif pengambilan pekerja dan program pengekalan pekerjaan (ERP).

Sejak pelancaran PSU, sebanyak 281 aduan dikemukakan pekerja mengenai bayaran insentif yang dimohon majikan tidak diserahkan kepada pekerja.

Beliau turut mengesahkan kenyataan SPRM 7 Oktober lalu berhubung seorang pengarah urusan sebuah syarikat di Selangor ditahan bagi membantu siasatan kes mengemukakan penyata akaun mengandungi butiran palsu untuk mendapatkan bantuan subsidi upah PSU.

“Kes ini melibatkan 185 pekerja dan bayaran sebanyak RM415,000. Kes ini antara 30 kes yang kita kenal pasti,” katanya.

Sehingga kini, kerajaan membayar kira-kira RM11.8 bilion kepada majikan bawah insentif subsidi upah itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here