KUCHING, 10 Okt — Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong mendahului senarai penerima darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Jadi Ke-84 Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud hari ini.

Beliau dianugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA) yang membawa gelaran Datuk Amar.

Turut menerima darjah kebesaran yang sama ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi, ADUN Katibas Datuk Ambrose Blikau Enturan dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang menerima darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Bagi darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk menyaksikan dua penerima iaitu Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Negeri Sarawak merangkap ADUN Bekenu Rosey Yunus dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Mohd Shahabuddin Omar.

Enam penerima Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran Datu pula terdiri daripada Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri Datuk Dr Chai Khin Chung, Pengarah Unit Sumber Manusia Negeri Ismail Mohamad Hanis, Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak Buckland Bangik, Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak Ronnie Edward, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Bintulu Rodziah Morshidi dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak Awang Suhaili @ Suhaidi Ledi.

Manakala 19 lagi individu menerima darjah Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang juga membawa gelaran Datuk termasuk Duta Besar Malaysia ke Holy See Westmoreland Edward Palon dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak Chai Moi Fong.

Anugerah lain ialah pingat Johan Bintang Sarawak yang diterima antaranya oleh Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar M.M. Sree dan Elizabeth Deng daripada Persatuan Kebangsaan Orang Ulu.

Selain itu, Johan Bintang Kenyalang menyaksikan 15 penerima, Johan Perkhidmatan Cemerlang (5), Pingat Perkhidmatan Cemerlang (Emas) (17), Pegawai Bintang Sarawak (40), Pegawai Bintang Kenyalang (113) dan Pingat Perkhidmatan Bakti (Perak) (148). 

Ahli Bintang Sarawak (168), Ahli Bintang Kenyalang (165), Pingat Perkhidmatan Terpuji (Gangsa) (228) dan Bentara Bintang Sarawak (234).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here