PETALING JAYA,12 Okt: PKR mengarahkan ahlinya tidak mengadakan perhimpunan, khasnya di jalan utama menuju Istana Negara ketika Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail turut meminta rakyat bertenang ketika majlis itu berlangsung, termasuk kemungkinan berlaku sebarang proses kemudiannya.

“PKR mengingatkan semua ahli Parlimen agar terus berkhidmat di kawasan masing-masing dan mengutamakan isu kebajikan serta nasib rakyat di kala pandemik Covid-19 menular,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar dijangka mempersembahkan keterangan lengkap jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya untuk menubuhkan kerajaan baru esok.

Bulan lalu, ketua pembangkang itu dilaporkan berkata, Agong sudah menerimanya untuk menghadap, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dimasukkan ke Institut Jantung Negara pada 21 Sept lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here