PETALING JAYA,15 Okt: Aktiviti ekonomi di Selangor yang dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berjalan seperti biasa dengan pematuhan penuh prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan.

Tinjauan FMT di sekitar Kota Damansara dan Subang Jaya mendapati walaupun ada kawasan kelihatan agak lengang, namun peniaga masih membuka premis masing-masing mengikut waktu ditetapkan bagi memenuhi keperluan harian penduduk di situ.

Keadaan di restoran, kedai makan dan gerai di lokasi itu juga agak sunyi berikutan pematuhan SOP PKPB yang membenarkan hanya 2 orang untuk sebuah meja, kaedah bungkus dan bawa pulang atau pelanggan menggunakan khidmat penghantaran makanan atau pandu lalu.

Seorang peniaga nasi kukus di Seksyen 7 Kota Damansara, Ahmad Fauzan, 34, mengakui peniagaannya merosot hampir 50% pada hari pertama pelaksanaan PKPB semalam.

“Orang luar tak boleh datang makan di kedai saya sebab jalan utama di tutup, mereka yang dari Sungai Buloh, Kampung Melayu Subang tak boleh datang. Kalau ada yang datang mereka diarah patah balik,” katanya.

Berkongsi nasib sama, seorang lagi pengusaha gerai makanan di Seksyen 6 Kota Damansara berkata, pendapatannya merosot berikutan orang ramai tidak keluar rumah seperti sebelum ini.

“Memang teruk perniagaan hari ini. Hari pertama PKPB dilaksanakan semula hampir 75% jualan berkurang, selalunya jam 1 petang orang beratur, tapi sebab PKPB orang tak datang.

“Kebanyakan pelanggan yang datang adalah orang luar dari Kota Damansara, Shah Alam, Selayang, Kuala Lumpur. Bila ada sekatan rentas daerah ini mereka semua tak boleh singgah makan.

“Makanan banyak lagi belum habis, meja-meja kosong, orang yang datang bungkus pun kurang,” katanya yang sudah lebih 20 tahun menjalankan perniagaan itu.

Beliau, yang mempunyai 7 orang pekerja itu, tidak menolak kemungkinan perlu menutup gerainya sepanjang PKPB sekiranya perniagaan kurang sambutan kerana tidak mahu menanggung lebih banyak kerugian.

“Kalau kurang pelanggan saya kena pilih cara lain, mungkin saya akan kurangkan kuantiti lauk yang dimasak,” katanya sambil menambah nasib sama turut dialami gerai lain.

Beliau bagaimanapun akur dengan arahan kerajaan walaupun pendapatannya agak merosot.

“Disebabkan lokasi restoran ini dikenakan PKPB, kami memang patuh pada arahan kerajaan kerana tak mahu wujud sebarang isu pada kemudian hari dan bagi menjaga keselamatan semua.

“Kerajaan pun tak minta penyakit Covid-19 ini, elok juga buat PKPB harap keadaan kembali pulih macam biasa untuk kami berniaga,” katanya.

Mohamad Salleh Ahmad, 54, berkata, perniagaannya kurang sambutan kerana orang ramai takut untuk makan di luar susulan kes jangkitan meningkat semula.

“Dari pukul 9 pagi saya buka kedai, setakat ini pukul 5 petang tidak sampai 30 pelanggan pun datang. Usahkan makan di kedai, bungkus pun kurang, tapi kita terima tindakan kerajaan buat PKPB, kalau dibiarkan kes lagi banyak, lagi lama kami kena tutup kedai.

“Lagipun sebelum ini kerajaan sudah bantu peniaga dengan bantuan Prihatin, kalau kali ini kerajaan nak bantu lagi kita terima. Kalau tiada pun kita terima sebab kita faham kerajaan pun banyak benda lagi mereka nak buat, urus negara lagi,” katanya yang berniaga di USJ 7.

Bagi, Sofian Zin, 39, beliau mengambil pendekatan mengaktifkan perniagaan atas talian dan membuat khidmat penghantaran makanan dari rumah ke rumah.

“Saya tahu kalau kes tinggi orang takut nak datang ke kedai, jadi saya aktifkan semula group perniagaan saya di media sosial, untuk ambil tempahan. Saya akan hantar rumah ke rumah tanpa sebarang caj tambahan,” katanya.

Sementara itu, Khairul Abdullah, 49, memilih untuk menutup sepenuhnya operasi gerainya dan hanya mengambil tempahan untuk dihantar rumah.

“Sepanjang PKPB saya tutup terus kedai, kami masak dan ambil tempahan di rumah sahaja, jimat masa, kos, tidak perlu tanggung kerugian kalau makanan tidak habis sebab kami hanya buat bila ada tempahan,” katanya yang mengusahakan perniagaan nasi ayam kunyit.

Beberapa pelanggan yang ditemui FMT berkata, mereka membuat keputusan untuk tidak makan di gerai kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

“Saya bungkus sahaja, sebab takut dijangkiti,” kata Mohd Firdaus Karim.

Kebimbangan sama juga disuarakan Nurul Hidayah Zin yang hanya membeli makanan secara bungkus, termasuk untuk rakan sekerjanya.

“Rakan sekerja pun nak keluar takut, jadi kami gilir-gilir keluar beli makanan, ada yang kirim kemudian balik makan di pejabat,” katanya yang bekerja sebagai akauntan.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diletakkan bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, perjalanan rentas daerah juga tidak dibenarkan sepanjang PKPB itu.

Di bawah PKPB, restoran, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan, kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

Pembelian makanan digalakkan dibuat secara pandu lalu, penghantaran atau bungkus dan bawa pulang. Bagaimanapun, makan di premis adalah dibenarkan, namun terhad kepada 2 orang untuk sebuah meja dengan pematuhan SOP sektor makanan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here