KUALA LUMPUR, 17 Okt  — Geran Pembangunan Pasaran (MDG) di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) kini mempunyai kriteria nilai tambah bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) meningkatkan jualan mereka di pasaran global dalam persekitaran COVID-19, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

Timbalan Menterinya Datuk Lim Ban Hong berkata kriteria itu termasuk membenarkan permohonan pembayaran balik perbelanjaan untuk penyertaan dalam pameran perdagangan antarabangsa maya serta mesyuarat perniagaan melalui misi perdagangan digital.

 PKS tempatan juga boleh memanfaatkan MDG untuk ganti rugi perbelanjaan yang ditanggung akibat pembatalan atau penangguhan acara perdagangan.

Pemudahan ini meliputi kos yang ditanggung oleh PKS seperti yuran penyertaan yang tidak dikembalikan, tambang penerbangan termasuk penginapan sehingga RM25,000 bagi setiap tuntutan. 

MDG turut memperkenalkan kemudahan pembayaran balik kos logistik yang ditanggung oleh PKS akibat penutupan global.

Pelepasan sementara ini dibenarkan untuk pembayaran balik sehingga 30 peratus kos logistik atau sehingga RM15,000 bagi setiap penghantaran dan ini merangkumi kos perjalanan, pergudangan dan pengangkutan.

“Walaupun COVIS-19 telah menjejaskan pelbagai pameran perdagangan yang diadakan di peringkat antarabangsa,  perniagaan tempatan tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menjual produk atau perkhidmatan mereka di luar negara kerana mereka masih boleh berbuat demikian melalui pendigitalan. Ini akan menjadikan mereka bereaksi terhadap situasi pasaran global,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini. 

Sebagai contoh, Canton Fair yang terkenal di dunia sehingga digelar sebagai pintu masuk ke pasaran China, telah mengubah acara mereka menjadi platform interaktif maya akibat pandemik COVID-19. 

Begitu juga, pameran perdagangan lain di peringkat global turut mendapat jangkauan penonton yang lebih luas dengan bergerak ke arah pameran perdagangan maya.

Pameran perdagangan maya ini menggunakan persidangan video yang canggih, penstriman langsung dan platform multimedia interaktif bagi memudahkan penglibatan peserta. 

Sehingga kini, MDG telah membantu 23,937 pengeksport Malaysia untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan tempatan di peringkat global, yang mana, sejumlah RM388.7 juta telah disalurkan bagi menyokong PKS tempatan. 

Sejak lima tahun lepas, PKS yang mendapat manfaat daripada geran itu telah melaporkan jualan eksport terkumpul sebanyak RM8.72 bilion. 

MITI berkata sehingga September 2020, sejumlah 1,173 syarikat telah mendapat manfaat daripada MDG, dengan jumlah pengagihan sebanyak RM19.7 juta.

Kaji selidik yang dijalankan oleh MATRADE pada 2019 menunjukkan lebih 92 peratus PKS bersetuju bahawa MDG memainkan peranan penting dalam urus niaga eksport mereka, manakala 90 peratus berkata MDG membantu meningkatkan jualan eksport mereka. 

“MDG sudah pasti akan menyokong pemulihan ekonomi negara dengan memastikan PKS tempatan dapat terus mengeksport dalam iklim ekonomi semasa. Saya berharap lebih banyak syarikat akan menggunakan geran itu bagi meningkatkan eksport pada masa yang mencabar seperti sekarang,” kata Lim.

PKS Malaysia yang berminat untuk menggunakan fasiliti MDG perlu terlebih dahulu mendaftar sebagai anggota MATRADE melalui www.matrade.gov.my dan semua permohonan bagi MDG boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web yang sama. 

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian khidmat MDG di 03- 62077593 atau e-mel kepada mdg@matrade.gov.my.

— BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here