8 Oktober — HANYA 52.5% daripada keseluruhan 7,237 katil di hospital dan pusat rawatan Covid-19 di Sabah digunakan bagi merawat pesakit dijangkiti virus itu, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata sebanyak sembilan hospital di negeri itu digunakan bagi merawat pesakit risiko tinggi, manakala 35 pusat rawatan sementara seperti dewan orang ramai yang diubah suai merawat pesakit risiko rendah.

“Kita punya katil cukup untuk rawat pesakit di Sabah… kita juga dalam proses untuk menambah dua lagi pusat rawatan Covid-19 bagi merawat pesakit berisiko rendah, setelah siap dalam masa terdekat kita jangka tambah 350 katil lagi,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, malam ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini dilaporkan berkata Sabah kekal mencatat kes tertinggi Covid-19 iaitu 546 kes daripada keseluruhan 801 kes di seluruh negara.

Sementara itu, Masidi berkata kerajaan negeri sentiasa mendengar keluh-kesah rakyat tentang program Bantuan Bakul Makanan dan kerajaan negeri secara prinsip bersetuju meluaskan bantuan tersebut kepada mereka yang tidak terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dan diberi arahan kuarantin.

“Ketua Menteri (Hajiji Noor) akan buat pengumuman terperinci mengenai perkara ini dalam masa terdekat.. kita mengalu-alukan juga bantuan daripada semua pihak untuk bantu kita ini, tetapi saya mohon diberikan makanan kering kerana lebih mudah untuk proses agihan,” katanya.

Masidi turut meminta rakyat menyalurkan permohonan Bantuan Bakul Makanan mereka kepada pegawai daerah masing-masing sehari sebelum proses agihan.

Bernama hari ini melaporkan maklum balas rakyat diperlukan kerajaan negeri untuk menambah baik program Bantuan Bakul Makanan bagi memastikan bantuan itu dapat sampai kepada sasaran secara menyeluruh. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here