KUALA LUMPUR, 29 Okt — Syarikat pemula niaga pelancongan Malaysia, Tourplus Technology Sdn Bhd, yang menawarkan pasaran dalam talian untuk pelancong dengan menyediakan jadual perjalanan khusus dan dihubungkan kepada pemandu pelancong tempatan, memperoleh pelaburan awal bernilai AS$1 juta (RM4.1 juta).

Dalam kenyataan hari ini, Tourplus berkata pihak-pihak dalam pelaburan sindiket tersebut diketuai oleh ahli perniagaan berpangkalan di Malaysia, Jin Hui Wong; bersama-sama syarikat Malaysia GT-MAX, diikuti SOSV dan pencepatnya, Chinaccelerator serta beberapa pelabur lain yang tidak didedahkan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas, Rickson Goh berkata 40 peratus daripada pelaburan itu diperuntukkan bagi pengembangan platform produk dan memperkemaskan penyelesaian teknologi.

“Kira-kira 30 peratus disediakan untuk inisiatif pemasaran dalam usaha memperluaskan asas pasaran dengan mendapatkan pelanggan dan mewujudkan jenama di seluruh rantau ini dan baki 30 peratus lagi khusus kepada pembangunan kekuatan tenaga kerja,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu pelabur utama, Jin Hui Wong berkata beliau bersama-sama pelabur lain yakin dengan perkembangan yang ditunjukkan Tourplus.

“Walaupun perniagaan berkaitan pelancongan telah terjejas teruk pada masa ini namun kami berpandangan situasi pasca-pandemik akan seperti di China yang mencatatkan pemulihan dalam pelancongan domestik semasa cuti perayaan Minggu Emas.

“Kami tertarik dengan kegigihan pasukan syarikat itu dan prospek positif pasaran pelancongan Asia Tenggara dalam tempoh terdekat yang kami yakin turut akan pulih,” katanya.

Tourplus, ditubuhkan pada 2015, bertujuan menyediakan aplikasi mudah alih yang lebih mesra pasaran pada 2018 dengan aplikasi menumpukan pemandu pelancong di samping menyasarkan peningkatan perolehan sebanyak 300 peratus pada masa itu.

Setakat ini, Tourplus berjaya membina kekuatannya dengan lebih 3,000 pemandu pelancong berdaftar di seluruh Malaysia dan Asia Tenggara serta 10,000 pengguna dalam tempoh 2019 hingga 2020.

Tourplus menyediakan panduan pemandu pelancong yang diperakui dan jadual perjalanan yang disesuaikan selain dinilai oleh pelancong lain di seluruh dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here