PETALING JAYA,Nov 3: Penganalisis politik berkata, walaupun belanjawan perpaduan yang dicadangkan Pakatan Harapan nampaknya menunjukkan kerjasama antara kerajaan dan pembangkang, ia belum jelas sejauh mana kedua-dua pihak itu bersatu.

Tunku Mohar Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa berkata, walaupun 6 tuntutan PH patut diteliti, kini terpulang kepada Perikatan Nasional untuk mempertimbangkan cadangan tersebut, sekiranya pakatan kerajaan mahu sokongan untuk “belanjawan perpaduan” itu.

Katanya, rakyat perlu menunggu dan melihat sama ada PH berpegang kepada kata-kata mereka untuk menyokong belanjawan yang merangkumi tuntutan mereka.

Beliau menyifatkan penggunaan kata dua oleh pembangkang sebagai tindakan bijak.

“Ini memberitahu PN bahawa PH tidak memberi kebenaran bertindak sesuka hati untuk sebarang belanjawan yang akan dibentangkan PN di Parlimen.”

Syed Arabi Idid dari UIAM berkata, perbincangan awal menunjukkan “kesediaan PM untuk mendengar atau menjadi inklusif”.

Tetapi, beliau tidak menjangkakan perkara akan berjalan lancar, walaupun belanjawan itu dilabel sebagai belanjawan perpaduan.

“Belang akan terdedah apabila cadangan belanjawan dibentangkan dan perbincangan menyusul di Parlimen,” katanya sambil menambah beliau menjangkakan beberapa bantahan atau halangan daripada pembangkang untuk memuaskan kawasan mereka.

“Ini akan mencetuskan perdebatan sengit dan penelitian sebelum Dewan Rakyat mengundi.”

Sementara itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata, “keterangkuman” cadangan itu patut membantu belanjawan itu diluluskan dan PN perlu terus bekerjasama dengan parti pembangkang untuk memaksimumkan peluang seperti ini terjadi.

“Saya pasti berunding dengan setiap parti, termasuk PH, akan meningkatkan kemungkinan belanjawan itu diluluskan.”

Beliau turut menjangkakan “beberapa pengubahsuaian” dibuat terhadap tuntutan PH ketika perbahasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here