JOHOR BAHRU, 3 Nov: Kumpulan pekerja Malaysia di Singapura yang hilang pekerjaan akibat penutupan sempadan sejak Mac lalu menjadi kelompok besar yang tercicir daripada menerima manfaat bantuan kerajaan.

Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pusat khidmat Parlimennya kerap menerima aduan mengenai kebajikan dan bantuan daripada mereka yang diberhentikan kerja oleh majikan dari Singapura dan terputus sumber pendapatan.

Katanya, beliau sedar penutupan sempadan di luar jangkaan dan tidak diketahui bila akan dibuka semula kerana ia perlu bagi mengekang penularan Covid-19.

Meurutnya, bagaimanapun soal kesan besar ekonomi termasuk kesihatan lain seperti gangguan mental wajar dipertimbangkan.

“Ada kumpulan pekerja bernasib baik kekal bekerja di sana (Singapura). Cuma tidak dapat pulang atau berulang alik seperti biasa namun ada yang bernasib malang terus hilang pekerjaan, contohnya bantuan seperti subsidi upah diumumkan, untuk mereka ini tidak dapat manfaat.

“Kerajaan tidak boleh melihat perkara ini ‘top to bottom’ yang akhirnya menyebabkan ramai tercicir dengan skim bantuan diperkenalkan dan 1 daripadanya kumpulan besar yang bekerja di Singapura.

“Pendekatan perlu dibuat dan dilihat secara ‘bottom up’ dengan bantuan terhadap mereka dapat disalurkan tanpa perlu berdepan kekangan G2G (government to government),” katanya kepada FMT.

Akmal berkata, seharusnya data pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura sudah lama dimasukkan dalam pengkalan data negara ini kerana mereka juga penyumbang dalam kelangsungan ekonomi terutama di Johor Bahru.

“Ada berpandangan mereka bekerja di Singapura (tiada kaitan), tetapi hakikatnya mereka ada dalam sistem ekonomi kita apatah lagi ramai yang menetap di Johor Bahru.

“Mereka wajar masuk dalam sistem kerana kuasa membeli ada pada mereka yang tinggal di Johor, meskipun tindakan (penyediaan pengkalan data) disusun agak lewat oleh kerajaan, tetapi baiklah daripada tiada.

“Saya juga ada menyuarakan pertanyaan dalam sidang Parlimen mengenai perkara ini, tetapi sehingga kini tiada jawapan jelas diterima,” katanya.

Sempadan Malaysia dan Singapura ditutup sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu, bagi mengekang penularan Covid-19.

September lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dilaporkan berkata, pembukaan sempadan sepenuhnya Malaysia-Singapura bergantung kepada situasi semasa perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) hingga Disember ini.

Beliau dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan akan meneliti kes dan perkembangan penularan wabak Covid-19 sepanjang tempoh itu sebelum memutuskan pembukaan pintu sempadan berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here