KUALA LUMPUR, 9 Nov — Hal-hal berkaitan kesediaan kerajaan dalam menghadapi gelombang ketiga COVID-19 khususnya di Sabah menerusi Belanjawan 2021 menjadi antara topik utama dibangkitkan seorang Ahli Parlimen dari negeri itu yang mengutarakan beberapa persoalan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Hassan (Warisan-Papar) antara lain ingin mengetahui bentuk penambahbaikan bagi mewujudkan kolaborasi antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam mengendalikan krisis wabak itu di setiap hospital di Sabah yang menguruskan pesakit COVID-19. 

“Berapakah jumlah peruntukan khas untuk setiap satu hospital awam di Sabah bagi bekalan reagen, set peralatan perlindungan diri, cecair pembasmi kuman, fasiliti zon saringan dan termometer. 

“Daripada RM150 juta untuk Nadma, berapa jumlah peruntukan dikhaskan bagi tujuan menyediakan fasiliti mangsa banjir dan pusat kuarantin khas COVID-19 di Sabah. 

“Apakah bentuk persediaan jangka panjang yang dirangka Nadma bagi mewujudkan emergency assistant yang cepat dan reliable buat mangsa-mangsa bencana alam di Sabah,” katanya pada hari pertama sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 hari ini.

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat lepas, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan dalam Belanja Perkhidmatan Kesihatan Awam berkaitan COVID-19 bagi tahun 2021 termasuk RM150 juta kepada Nadma untuk menyelaras usaha memerangi pandemik itu.

Kerajaan juga bersetuju melaksanakan pemberian one-off sebanyak RM500 yang akan memanfaatkan 100,000 petugas barisan hadapan KKM, iaitu tambahan kepada Elaun Khas COVID-19 sebanyak RM600 sebulan kepada petugas barisan hadapan KKM yang diberikan sejak Mac lepas dan akan diteruskan sehingga ancaman pandemik itu berjaya diatasi.

Berhubung elaun khas berkenaan, Ahmad turut meminta kerajaan mempertimbangkan penstrukturan semula pemberian elaun itu.

“Sewajarnya, amaun elaun khas RM600 yang diberikan setiap bulan wajar diperhalusi semua dengan mengambil kira beban tugas barisan hadapan berbeza mengikut zon jangkitan,” katanya. 

Ahmad dalam pada itu berkata COVID-19 turut mengingatkan semua pihak untuk menitikberatkan penjagaan kesihatan dan memberi isyarat kepada pemimpin untuk melindungi rakyat.

Semalam, negara mencatatkan 852 kes baharu positif COVID-19 dengan sebanyak 61.5 peratus atau 524 kes daripadanya dicatatkan di Sabah. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here