PETALING JAYA,12 Nov: Cadangan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru ahli Parlimen dan eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memotong gaji mereka wajar dibincangkan dan diputuskan, kata ahli Parlimen pembangkang dan pemerintah.

Ahli Parlimen Sabak Bernam, Mohd Fasiah Mohd Fakeh, dari PPBM secara peribadi sedia terima pemotongan itu jika diarah.

“Kita tidak ada masalah jika ada arahan daripada atas untuk potong…seluruh gaji wakil rakyat. Kita sebelum ini juga membantu rakyat…duit saya sendiri juga sudah keluar cumanya tidak beritahu…kita juga faham rakyat dalam memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata semua ahli Parlimen perlu dibayar separuh daripada gaji dan memotong faedah istimewa, bagi menunjukkan “kepimpinan melalui teladan”, susulan bantahan terhadap idea membolehkan pencarum mengeluarkan wang daripada Akaun 1 KWSP.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz pada pembentangan Belanjawan 2021 berkata, Putrajaya bersetuju untuk meluluskan pengeluaran simpanan Akaun 1 KWSP sebanyak 500 sebulan untuk tempoh 12 bulan, pengeluaran sehingga RM6,000.

Ahli Parlimen Tanjong Malim, Chang Lih Kang, dari PKR pula melihat cadangan CAP itu tidak membantu ekonomi secara keseluruhan.

Beliau bagaimanapun percaya langkah itu akan membantu menunjukkan aspek “kepimpinan melalui teladan”.

“Ia perlu dibincangkan secara bersama tetapi tidak boleh dijadikan paksaan kerana kita tidak tahu keadaan seseorang ahli Parlimen itu walaupun purata gajinya tinggi,” katanya.

Berkenaan eksekutif GLC pula, Chang berkata “bukan semua bergaji tinggi”.

“Saya setuju bagi yang mempunyai 2 gaji atau 3 gaji, pada masa sama ahli Parlimen atau menteri,” katanya.

Pada Selasa, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau akan bersetuju dengan cadangan memotong gaji menteri, mengatakan mereka dalam kerajaan tidak mengalami apa-apa kekurangan ketika ramai hilang pendapatan.

Beliau juga sanggup pencennya dipotong 10% untuk disalurkan kepada mereka yang hilang pendapatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here