PETALING JAYA,Nov 19: Sebuah kesatuan sekerja menggesa Putrajaya mengiktiraf pekerja pembersihan hospital sebagai ‘frontliner’ dalam memerangi Covid-19 supaya mereka turut menerima manfaat pakej rangsangan kerajaan.

Setiausaha eksekutif Kesatuan Nasional untuk Pekerja Sokongan Hospital dan Perkhidmatan Bersekutu (NUWHSAS), Sarasvathy Muthu berkata, pekerja terbabit terdedah kepada jangkitan setiap hari dan beliau terkejut apabila kerajaan tidak memasukkan kumpulan itu dalam definisi petugas barisan depan.

“Tanpa mereka, semua usaha untuk mengekang Covid-19 dan melandaikan keluk tidak akan berjaya,” katanya.

“Ya, doktor dan jururawat sangat penting. Tetapi pekerja terlibat secara langsung dalam pembersihan, sesuatu yang kerajaan sering gesa orang ramai untuk buat.”

Sarasvathy berkata, mereka yang didefinisikan sebagai “frontliner” mendapat manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi dan juga dilindungi dalam belanjawan kerajaan yang dibentangkan 2 minggu lalu.

Katanya, pekerja pembersihan hospital berdepan banyak ancaman terhadap kehidupan mereka, seperti sistem kontrak yang tidak melindungi mereka.

Kementerian Kesihatan (KKM) melantik sebuah syarikat baru untuk kontrak pembersihan setiap 3 tahun.

“Pekerja kehilangan semua jawatan kanan mereka dan faedah kerana mereka akan menjadi pekerja baru di bawah kontraktor baru,” katanya.

“Mereka mesti dilindungi dan mesti diberi faedah. Kalau tidak, mereka menjadi hamba abdi.

“Dalam sebuah negara maju seperti Malaysia, pekerja pembersihan yang bekerja lebih 20 tahun mesti diberi gaji yang setimpal.”

Sarasvathy berkata gaji bulanan RM1,200 terlalu sedikit dan mendakwa ramai yang hidup dalam “keadaan yang menyedihkan”.

“Apabila mendapat gaji, mereka akan kehabisan wang pada hari ke-7 atau ke-8 dan perlu meminjam untuk pendidikan anak-anak, malah untuk makanan,” katanya, sambil menambah inilah antara sebab mereka selalu berhutang.

“Mereka tidak sepatutnya berdepan keadaan ini. Mereka mesti diberi gaji kehidupan asas supaya dapat menjalani hidup yang lebih baik.”

Jun lalu, ahli kesatuan itu mengadakan tunjuk perasaan di luar Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, dengan mendakwa mereka diancam dan kesatuan dirombak sejak awal tahun ini.

Syarikat yang memegang kontrak membekalkan pekerja pembersihan hospital, iaitu UEM Edgenta Berhad, menafikan dakwaan itu, tetapi berkata, pihaknya menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk menyiasat dakwaan itu.

Ia berjanji akan mengambil tindakan terhadap penyelia terbabit sekiranya dakwaan itu benar.

Beliau turut memberi komentar mengenai kenyataan ketua setiausaha Kementerian Kesihatan Dr Chen Chaw Min sebelum ini bahawa elaun khas Covid-19 untuk ‘frontliner’ hanya untuk pegawai kesihatan yang terlibat dalam tugas Covid-19, dan tidak termasuk kakitangan yang tidak terlibat dalam mengendalikan pesakit Covid-19.

Sarasvathy berkata, ia salah kerana pekerja lain di hospital juga memainkan peranan yang sangat penting dalam memerangi Covid-19.

“Kerajaan mesti teliti isu ini dan berikan elaun kepada pekerja pembersihan.”

Katanya, walaupun pengambilan pekerja pembersihan hospital diswastakan, namun masih menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mewajibkan syarikat memberi mereka elaun khas.

“Kesatuan sangat kecewa dengan kenyataan itu. Kerajaan tidak boleh lari daripada tanggungjawab.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here