PUTRAJAYA, 7 Dis — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan portal MalaysiaBiz yang berfungsi sebagai pusat setempat bagi memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen dalam talian secara efisien.

Beliau berkata portal yang dibangunkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) itu bertujuan mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga bagi meningkatkan daya saing negara serta memacu pertumbuhan ekonomi setempat. 

“Kepada para usahawan kecil dan sederhana sekalian, manfaatkanlah peluang ini untuk mendaftar dan memohon lesen perniagaan masing-masing melalui portal MalaysiaBiz.

“Marilah kita sama-sama menjayakan inisiatif ini dan semoga segala urusan saudara dan saudari dapat dipermudahkan,” katanya dalam ucapan semasa melancarkan portal itu yang disiarkan di laman Facebook MAMPU.

Perdana Menteri berkata portal itu dibangunkan berikutan kerajaan menyedari pentingnya platform digital dalam bidang perniagaan dan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada ekonomi negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here