SINGAPURA, 8 Dis — Mesyuarat Tahunan Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) akan diadakan di sini pada Mei 2021, demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.

Mesyuarat Tahunan Khas itu akan mengumpulkan pemimpin tertinggi dunia kerajaan, perniagaan dan akademik untuk menangani beberapa masalah mendesak yang dihadapi dunia.

Ia bertujuan menggembleng tindakan bagi mencapai Matlamat Pembangunan Lestari dan memudahkan perbincangan mengenai teknologi dan tadbir urus perdagangan.

“Ketika dunia memerangi COVID-19, ada dorongan yang lebih besar lagi bagi negara-negara untuk bekerjasama dan saling membantu antara satu sama lain dalam usaha menangani masalah global yang mendesak,” kata menteri MTI Chan Chun Sing dalam satu kenyataan baru-baru ini.

“Mesyuarat khas WEF ini adalah platform utama perbincangan seumpama ini diadakan. Keputusan WEF untuk mengadakan Mesyuarat Tahunan Khas 2021 di Singapura adalah pengesahan terhadap kemampuan Singapura menyediakan tempat yang selamat, berkecuali dan kondusif untuk pertemuan para pemimpin global.

“Walaupun dengan penularan pandemik pada masa ini, kami yakin Singapura mampu mengekalkan kesihatan dan keselamatan awam serta pada masa sama, menyokong wawasan WEF untuk melakukan perubahan positif melalui kerjasama dan penglibatan semua,” kata Chan.

Buat pertama kalinya, MTI berkata Mesyuarat Tahunan Khas akan turut merangkumi komponen maya untuk membolehkan penyertaan lebih besar di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Ini adalah kali kedua Mesyuarat Tahunan Khas WEF diadakan di luar Switzerland sejak penubuhannya pada 1971 dan kali pertama ia diadakan di Asia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here