SINGAPURA, 9 Dis — Royal Caribbean International pada Rabu mengesahkan yang seorang tetamu di atas kapal persiaran ‘Quantum of the Seas’ telah diuji positif COVID-19.

Pihak terbabit dalam satu kenyataan menyatakan, pasukan perubatan di atas kapal tersebut telah mengesan Coronavirus.

“Kami telah mengenal pasti dan mengasingkan tetamu dan kakitangan yang merupakan kontak rapat dengan tetamu tersebut, dan setiap individu telah diuji negatif virus itu,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, kapal tersebut akan kembali ke pelabuhan pada Rabu mengikut protokol yang ditetapkan kerajaan dan tetamu akan dibenarkan turun selepas proses pengesanan kontak selesai.

Quantum of the Seas merupakan salah sebuah daripada program ujian ‘persiaran selamat’ dilancarkan pada November 2020 dengan protokol keselamatan yang dipertingkatkan. Program itu bermula pada 6 Nov bersama ‘Genting Cruise Lines World Dream’,  manakala Quantum of the Seas mula belayar bulan ini.

“Kami sedang berhubung dengan kerajaan Singapura dan amat berterima kasih dengan panduan mereka pada ketika kami bekerjasama melindungi kesihatan dan keselamatan tetamu dan kakitangan.

“Kami bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi membina satu sistem menyeluruh yang menguji dan memantau kesemua tetamu dan kakitangan dan mematuhi amalan kesihatan awam terbaik.

“Sebab itulah kami dengan cepat dapat mengenal pasti kes tersebut dan mengambil tindakan segera, menunjukkan sistem tersebut berfungsi seperti yang sepatutnya,” menurut Royal Caribbean International.

Ketika mengumumkan pelayaran ‘pilot’ pada 8 Okt, Lembaga Pelancongan Singapura (STB) menyatakan pelayaran yang merupakan satu perjalanan tanpa singgah di mana-mana pelabuhan, belayar dengan kapasiti dikurangkan 50 peratus dan hanya terbuka untuk penduduk Singapura.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here