KUALA LUMPUR, 11 Dis — Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan enam lagi kluster baharu jangkitan COVID-19 yang kesemuanya melibatkan tempat kerja di beberapa daerah di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata di Selangor, ia melibatkan Kluster  Sungai Putus (daerah Klang) dan Kluster Erima (daerah Gombak). 

“Kes-kes awal bagi Kluster Sungai Putus dilaporkan positif  bermula pada 9 Dis hasil saringan bersasar di tempat kerja yang melibatkan sebuah kilang. Sehingga hari ini, sejumlah 2,001 individu disaring dengan 427 kes dikesan positif dan kluster ini melibatkan sembilan warganegara dan 418 bukan warganegara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi Kluster Erima, kes indeks (ke-73290) dilaporkan positif pada 7 Dis melalui saringan individu bergejala dan berikutan kes itu, majikan melaksanakan saringan ke atas pekerja dan mendapati 28 individu yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks dikesan positif. Sehingga hari ini, sejumlah 83 individu disaring, dengan 29 kes dikesan positif.  

Dr Noor Hisham berkata Kluster Tapak Bina Jalan Berangan pula melibatkan daerah Lembah Pantai, Titiwangsa, dan Kepong di Kuala Lumpur, dengan kes awal bagi kluster itu dilaporkan positif COVID-19 bermula 9 Dis menerusi hasil saringan bersasar di tempat kerja melibatkan sebuah tapak binaan.

Bagi kluster itu, 1,246 individu disaring dengan enam kes dikesan positif sehingga hari ini. 

Sementara itu, satu kluster melibatkan daerah Kulai dan Johor Bahru di Johor dinamakan Kluster Langkasuka dikesan selepas kes indeks (ke-71291) dilaporkan positif pada 5 Dis melalui saringan individu bergejala. Sehingga hari ini, sejumlah 113 individu disaring, dan 14 kes dikesan positif COVID-19.

Beliau berkata 11 kes dikesan positif bagi Kluster Jalan College yang dikesan di daerah Seremban, Negeri Sembilan dan Petaling, Selangor dengan kes indeks (kes ke-68884) dilaporkan positif pada 3 Dis melalui saringan individu bergejala.

Kluster Sungai Keluang dikenal pasti di daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang, dengan kes indeks (ke-71197) dilaporkan positif COVID-19 pada 5 Dis melalui saringan pulang ke negara asal.

“Hasil saringan kontak rapat di tempat kerja seterusnya mendapati 16 kes dikesan positif COVID-19. Sehingga 11 Dis, sejumlah 99 individu disaring, dengan 16 kes dikesan positif.

Dr Noor Hisham berkata pertambahan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster yang dikesan di Malaysia adalah 407 manakala kluster aktif yang dipantau sebanyak 190.

Tiga kluster diisytihar tamat hari ini melibatkan Kluster Taman Laut (Selangor), Kluster BMU (Melaka) dan Kluster Ikhtisas (Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here