PETALING JAYA,17 Dis: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menawarkan diri untuk menjadi orang pertama di kawasan parlimennya menerima vaksin Covid-19.

“Tujuan saya membuat pengisytiharan ini untuk memberi keyakinan kepada rakyat di Pasir Gudang, di Johor dan di seluruh Malaysia bahawa vaksin yang akan digunakan dalam program suntikan kelolalan Kementerian Kesihatan adalah selamat.

“Bersama-samalah kita perangi pandemik Covid-19 ini untuk kita mendapatkan kembali kebebasan, kemerdekaan dan cara hidup kita sebagai masyarakat yang bermaruah,” tulis Ahli Parlimen PKR itu di Facebook.

Kerajaan menandatangani perjanjian dengan Pfizer dan Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (COVAX) bulan lalu untuk mendapatkan vaksin bagi 30% penduduk negara.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin turut berkata, terdapat rancangan menambah pembelian vaksin bagi memenuhi keperluan imunisasi sehingga 70% rakyat Malaysia.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin mengisytiharkan dirinya panglima perang, dengan menawar diri menjadi rakyat Malaysia pertama diuji dengan vaksin itu.

“Saya menawarkan orang pertama untuk uji vaksin ini, kalau ada. Saya tidak takut sebab saya mahu sihat.

“Panglima perang kena dulu,” katanya di Dewan Rakyat pada 9 Dis lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here