PETALING JAYA,12 Jan: Dr Mahathir Mohamad, yang termasuk dalam senarai 20 ekstremis paling berbahaya di dunia, berkata beliau dicerca kerana pemikirannya, manakala yang lain terlepas dengan tindakan keganasan.

Dr Mahathir berkata demikian selepas namanya dimasukkan dalam senarai laman Projek Anti-ekstremisme berpangkalan di Amerika Syarikat minggu lalu, yang mendakwa bekas perdana menteri itu menyokong keganasan ekstremis terhadap negara Barat dan mengkritik masyarakat lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta orang Yahudi.

“Laman web ini menyiarkan separuh daripada apa yang saya tulis dan memutar belitnya untuk menunjukkan saya menyokong keganasan. Saya secara khusus menekankan umat Islam tidak membalas dendam,” tulisnya dalam blognya.

“Jadi, seseorang boleh menjadi ekstremis kerana mengkritik negara Barat, dengan berkata perkara yang mereka tidak suka dengar, walaupun itu kebenarannya. Anda tidak perlu buat apa-apa. Nampaknya saya dicerca kerana pemikiran saya, manakala yang lain terlepas daripada tindakan keganasan yang menyebabkan kematian dan kemusnahan golongan lemah dan ditindas.”

Senarai itu termasuk pemimpin atau anggota Hezbollah, Hamas, IS, Ikhwanul Muslimin, Al Qaeda, ketua gerakan Nazi, sebuah gerakan supremasi berkulit putih dan sebuah kumpulan anti-Islam di Myanmar.

Mahathir berkata, Presiden AS, Donald Trump perlu dilabel sebagai ekstremis kerana menyerang Capitol AS dengan penyokongnya, sebahagian besarnya disebabkan hasutannya.

Facebook melarang Trump sehingga tamat penggal presidennya untuk menggunakan platform itu untuk “menghasut pemberontakan ganas terhadap kerajaan yang dipilih secara demokratik”, tetapi Trump tidak termasuk dalam senarai itu. (Senarai itu disiarkan sebelum serangan berkenaan berlaku)

Mahathir berkata, bekas presiden AS, George Bush dan bekas perdana menteri Britain, Tony Blair bertanggungjawab terhadap “kemusnahan menyeluruh” Iraq melalui pencerobohan negara itu berdasarkan dakwaan palsu ia memiliki senjata pemusnah besar-besaran.

“Adakah Bush dan Blair dianggap ekstremis dengan semua nyawa yang terkorban akibat pembohongan mereka mengenai Iraq,” soalnya.

“Serangan mengejut dan mengerunkan mereka yang didakwa akan menyelesaikan masalah pemerintahan diktator Iraq dalam tiga bulan kini berada memasuki tahun ke-18. Kemusnahan masih berterusan.”

Mahathir berkata, menurut Human Rights Watch, pasukan keselamatan Israel membunuh 189 penunjuk perasaan Palestin, termasuk 31 kanak-kanak dan tiga pekerja perubatan, serta mencederakan lebih 5,800 orang dengan tembakan antara 30 Mac hingga 19 Nov 2018.

“Sejak kewujudan Israel, ribuan nyawa rakyat Palestin terkorban akibat tindakan Israel. Tetapi, tiada satu pun orang Israel yang disenaraikan dalam kalangan ekstremis atau pengganas oleh laman web ini.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here