KUALA LUMPUR, 20 Jan — Pembangunan ekosistem digital, kesalinghubungan antara negara-negara ASEAN dan keselamatan siber antara perkara yang bakal diketengahkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Yang Pertama (ADGMIN1) pada Khamis.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata ASEAN berpotensi menjadi blok ekonomi digital serantau yang kompetitif setanding dengan blok ekonomi lain.

“Negara-negara ASEAN mempunyai teknologi, bakat dan inovasi. Oleh itu apa yang perlu dibangunkan oleh kerajaan negara ASEAN adalah ekosistem digitalnya. 

“Rantau ini mempunyai 650 juta penduduk, jadi kita sudah ada pasaran sendiri dan kalau ini boleh digemblengkan dengan diaspora ASEAN yang berada di seluruh pelusuk dunia… itu merupakan potensi negara-negara ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program Agenda Awani bertajuk ADGMIN1: Transformasi Sektor Digital Rantau Asean, yang disiarkan Astro Awani semalam.

Mengulas mengenai Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025) yang bakal dilancarkan pada ADGMIN1 kali ini, Saifuddin berkata ia bertujuan mengukuhkan kerjasama Digital ASEAN dari 2021 hingga 2025 dalam merealisasikan visi ASEAN sebagai komuniti digital dan blok ekonomi terkemuka.

Sementara itu, beliau berkata Malaysia sudah bersedia dengan kerangka kerja ADM2025 dengan peranan khusus sebagai antara pengerak utama pelan induk itu.

Selain di peringkat serantau, di peringkat negara Saifuddin berkata Agenda Digital Negara bakal dilancarkan tidak lama lagi oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ADGMIN1 yang diadakan secara maya, bermula hari ini dengan didahului Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Digital ASEAN Yang Pertama (ADGSOM1).

Mesyuarat kemudian akan diteruskan di peringkat menteri pada Khamis yang dipengerusikan oleh Saifuddin, dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menyampaikan ucaptamanya secara maya pada hari sama.

Mesyuarat yang bertemakan ASEAN – Komuniti yang Dihubungkan Secara Digital itu bertujuan mengukuhkan kerjasama antara negara-negara ASEAN ke arah membina ekosistem digital sebagai tonggak dalam pelan pembangunan pasca-COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here