PETALING JAYA, 4 Feb: Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mempersoalkan langkah Putrajaya menyekat peruntukan tahunan RM300,000 bagi Ahli Parlimen pembangkang.

Yeoh berkata, peruntukan itu sebaliknya disalurkan kepada penyelaras Parlimen Segambut lantikan Perikatan Nasional (PN), yang menurut beliau sehingga kini masih tidak menjelaskan butiran perbelanjaan.

“Saya sentiasa menyiarkan perbelanjaan peruntukan saya di laman web. Ini sudah menjadi amalan saya sejak menjadi ADUN Subang Jaya.

“Saya tidak seperti Ahli Parlimen Pakatan Harapan di Selangor atau Pulau Pinang. Mereka menerima sejumlah dana sokongan daripada kerajaan negeri, tetapi wakil rakyat pembangkang di Kuala Lumpur tidak ada bantuan seperti itu.

“Saya juga tidak ada jutaan ringgit di dalam poket,” katanya dalam kenyataan.

Hannah berkata, pihaknya akan terus menuntut ketelusan perbelanjaan wang itu daripada penyelaras Parlimen lantikan PN, kerana beliau bimbang ia tidak digunakan untuk rakyat Segambut.

“Saya tidak boleh menyanyi atau menari, serta membotakkan kepala saya bagi meraih dana tetapi saya bekerja keras untuk kawasan Parlimen saya dan memberi komitmen untuk menjadi ‘suara’ mereka.

“Kebimbangan utama saya adalah bagaimana untuk menguruskan pasukan saya (dengan wang RM300,000) tahun ini, supaya kami dapat memberikan khidmat yang baik kepada rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here