PETALING JAYA,5 Feb: Pemimpin DAP Liew Chin Tong menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin melantik Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan baru, bagi menggantikan Dr Adham Baba selepas dilantik Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Liew berkata, Malaysia memerlukan Menteri Kesihatan baharu kerana krisis Covid-19 yang dihadapi ketika ini sudah mencapai tahap merunsingkan.

Bahkan, katanya, rakyat sendiri tidak tahu apa yang dilakukan Adham hingga membuatkannya dilihat tidak layak mengetuai kementerian penting ketika ini.

“Secara peribadi, saya meminta perdana menteri melantik Khairy sebagai menteri kesihatan. Jika kerajaan hanya memberi Khairy portfolio imunisasi tanpa sokongan penuh daripada birokrasi kementerian kesihatan, ia seolah-olah mahu melihat beliau gagal.

“Rakyat Malaysia tidak mahu program imunisasi Covid-19 gagal kerana ini adalah soal hidup mati rakyat. Kita mahu Khairy berjaya dan kita sama-sama mahu Malaysia menang dalam perang melawan Covid19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju melantik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Khairy akan mengetuai satu Pasukan Petugas Khas yang menguruskan pelaksanaan program itu khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi kerajaan.

Menurut Liew, tidak adil Putrajaya menyerahkan tugas, termasuk membuat keputusan dasar kepada Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, kerana tugas beliau untuk memastikan pelaksanaan dasar kementerian, iaitu yang ditentukan menteri selepas rundingan dengan Kabinet dan perdana menteri.

“Dalam sistem demokrasi berparlimen, menteri perlu menggalas tanggungjawab penuh atas segala dasar yang diputuskan oleh kementerian. Jika kegagalan berlaku, menteri dan kerajaan perlu bertanggungjawab sepenuhnya,” katanya.

Tambahnya, Adham perlu meletakkan jawatannya atau ditukarkan kepada kementerian lain kerana dilihat gagal mengawal gelombang ketiga wabak Covid-19 sejak September lalu, yang kemudiannya melonjak naik pada Januari lepas.

“Disebabkan kepemimpinan politik Adham yang lemah, ketua pengarah kesihatan terpaksa memikul hampir semua beban pengurusan Covid-19. Kita berterima kasih kepada Noor Hisham kerana penilaian beliau banyak membantu negara pada peringkat awalnya.

“Tetapi beberapa aspek pendekatan beliau sejak akhir-akhir ini, seperti keberatan untuk menggunakan kit ujian pantas atau enggan menyaring kontak rapat tidak bergejala, secara tanpa sedar menyumbang kepada lonjakan bilangan kes,” katanya.

Jelasnya, sekiranya Muhyiddin mempertimbangkan untuk melantik menteri kesihatan dari seseorang yang bukan dari kalangan ahli politik, beliau turut mencadangkan supaya Penasihat Kesihatan Perdana Menteri Jemilah Mahmood boleh menjadi pilihan yang baik.

“Sekiranya ia memerlukan lantikan politik daripada Umno, demi mengelakkan masalah politik, sekurang-kurangnya Khairy nampak jauh lebih berkebolehan daripada Adham,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here