PASIR MAS, 6 Feb — Kekurangan tanah pertanian menjadi cabaran kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam usaha meningkatkan pengeluaran bekalan makanan negara, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata kekurangan itu berikutan tanah pertanian terpaksa ditukarkan kepada tanah pembangunan atau industri oleh kerajaan negeri bagi memenuhi kepentingan rakyat negara ini.

“Tukar tanah pertanian kepada tanah perindustrian merupakan urusan hal ehwal kerajaan negeri, namun kita (kementerian) faham isu-isu yang dibangkitkan ketika ini.

“Kita tidak boleh nafikan rakyat perlukan (tanah untuk) makanan jadi kita kena usaha keluarkan makanan, namun kita juga tidak boleh nafikan rakyat perlu tempat tinggal dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Program MAFI Prihatin Bantuan Banjir di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rantau Panjang di sini, hari ini.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan kira-kira 35,000 hektar kawasan sawah padi di Kedah ‘hilang’ selepas ditukar kepada kegunaan lain seperti pembangunan infrastruktur, komersial dan perumahan dalam tempoh 10 tahun lepas.

Che Abdullah berkata kementerian berusaha melaksanakan program-program pertanian baharu seperti sistem pertanian moden, projek pertanian bandar dan sebagainya bagi mengimbangi kekurangan tanah pertanian.

“Tanah tidak bertambah, rakyat semakin ramai dan permintaan makanan semakin tinggi ia merupakan cabaran kepada kementerian ketika ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here