KUALA LUMPUR, 8 Feb– China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) telah menyampaikan Anugerah Kecemerlangan 2020 kepada 31 rakan projek tempatan serta Bumiputera berikutan kecemerlangan prestasi, daya tahan dan dedikasi mereka. 

CCC-ECRL adalah kontraktor kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan bagi projek ECRL di Malaysia. 

Pengarah Urusan CCC-ECRL, Bai Yinzhan berkata anugerah itu akan diberikan atas prestasi luar biasa mereka dalam bidang-bidang tertentu termasuk pengurusan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE), pengurusan kualiti, pengurusan kemajuan termasuk peruntukan sumber. 

“Tahun 2020 telah memberikan pelbagai cabaran dan tanpa usaha mereka yang gigih, projek ini tidak akan kekal di landasan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sekarang ini, terdapat 1,241 vendor tempatan dan Bumiputera yang menyertai projek ECRL merangkumi 415 subkontraktor, 746 pembekal dan 80 perunding. 

“Kami juga berterima kasih kepada rakan-rakan projek tempatan dan Bumiputera kami yang telah mengatur dengan teliti penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tempat kerja kami selamat,” katanya. 

Bai ketika mengulas mengenai perkongsian kumpulan itu dengan syarikat Bumiputera berkata CCC-ECRL telah bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dan negeri dalam menyediakan platform untuk menggalakkan penyertaan kontraktor tempatan serta Bumiputera dalam projek ECRL. 

Syarikat itu aktif memastikan kontraktor, pembekal, perunding tempatan serta Bumiputera yang berkelayakan mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya 40 peratus kerja-kerja sivil melalui projek ECRL tetapi tidak termasuk kerja-kerja terowongan.

“CCC-ECRL turut memberi perhatian khusus terhadap pelantikan kontraktor kecil tempatan dan Bumiputera daripada kategori Gred G1-G3, yang secara langsung akan mendapat manfaat daripada industri pembinaan secara menyeluruh di negara ini,” katanya lagi. 

Sehingga Januari 2021, projek ECRL telah mencapai kadar kemajuan 20.37 peratus berbanding jangkaan 19.39 peratus susulan kemajuan sebanyak 9.47 peratus bagi Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, daripada sasaran awal sebanyak 5.83 peratus termasuk kemajuan kerja-kerja fizikal yang lebih pantas iaitu 0.62 peratus lebih awal daripada yang dijadualkan bagi Seksyen A dari Kota Baru ke Dungun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here