PETALING JAYA,11 Feb: Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, bukan semua peminjam meminta moratorium pinjaman secara “pukul rata”, berdasarkan pilihan mereka dalam bantuan pembayaran balik yang ditawarkan kini.

Dalam sidang media bersama Jabatan Statistik hari ini, Nor Shamsiah berkata, 1.4 juta peminjam memohon bantuan pembayaran balik dengan bank mereka setakat 31 Dis 2020, dengan kadar kelulusan 95%.

Beliau berkata, hanya 55% peminjam memilih pelanjutan moratorium, manakala 45% lagi sebaliknya memilih pengurangan ansuran bulanan.

Tambah beliau, ini dapat diperhatikan pada isi rumah dan peminjam dalam segmen berpendapatan rendah, termasuk B40.

“Ini menunjukkan bahawa peminjam tidak meminta moratorium ‘pukul rata’. Mereka tidak mahukan satu penyelesaian untuk semua masalah.

“Mereka mahukan bantuan yang disesuaikan dengan keadaan kewangan mereka,” kata beliau.

Nor Shamsiah menegaskan bahawa moratorium pinjaman secara “pukul rata”, yang disokong oleh ramai ahli politik pembangkang, bahkan Ahli Parlimen kerajaan, bukan untuk kepentingan terbaik rakyat dan ekonomi.

Beliau berkata, idea bahawa hanya moratorium yang akan membantu ekonomi adalah satu “salah faham”.

Kata beliau, moratorium “pukul rata” akan menghakis penimbal bank dan membuatkan bank lebih memilih untuk menghindari risiko, sekali gus menyukarkan individu dan perniagaan mendapatkan pinjaman baharu.

Tambah beliau, kekukuhan dan keuntungan bank penting bagi berjuta-juta rakyat Malaysia, kerana ramai antara mereka adalah pendeposit dan pemegang saham.

“Pendekatan yang bersasar adalah lebih baik berbanding moratorium ‘pukul rata’ kerana ini meletakkan pilihan di tangan peminjam untuk membuat keputusan kewangan mereka sendiri.

“Penting bagi mereka untuk membuat keputusan yang tepat berdasarkan keadaan kewangan mereka sendiri.

“Bantuan akan terus tersedia bagi mereka yang memerlukan bantuan pembayaran balik, sementara mereka yang mampu harus membayar pinjaman mereka,” kata beliau.

Nor Shamsiah berkata, dengan keadaan ekonomi global dijangka pulih tahun ini, ia juga diharapkan dapat mengundang pelaburan asing ke dalam negara.

“Penting bagi Malaysia untuk kekal teguh dengan reformasi untuk menambah baik ekosistem pelaburan agar dapat menarik pelaburan berkualiti yang akan mencipta pekerjaan bernilai tinggi bagi rakyat Malaysia.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here