PETALING JAYA,11 Feb: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara menurun sebanyak 3.4% pada suku keempat 2020, menjadikannya pertumbuhan ekonomi tahunan kepada -5.6% secara keseluruhan, iaitu terendah sejak 1998.

Pada sidang media hari ini, Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, penyusutan tahun ini disebabkan terutamanya oleh penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk mengekang wabak Covid-19.

Beliau berkata, pada 1998, semasa krisis kewangan Asia, Malaysia mencatat penyusutan KDNK selama lima suku tahun berterusan sebelum mencatat pertumbuhan positif.

Katanya, kebanyakan sektor ekonomi terus menyusut pada suku keempat, kecuali pembuatan, yang kekal positif hasil permintaan berterusan untuk produk elektrik dan elektronik.

Sektor perkhidmatan mencatat penyusutan lebih besar sebanyak 4.9%, terutamanya disebabkan sekatan pergerakan di bawah PKP bersyarat yang mengehadkan pergerakan dan waktu operasi. Subsektor bagi makanan dan minuman, penginapan, pengangkutan dan penyimpanan terjejas teruk.

“Sektor pertanian menyusut perlahan 0.7% dipengaruhi oleh kemerosotan bagi subsektor kelapa sawit, perikanan, perhutanan dan pembalakan dan getah.

“Bagaimanapun, pertumbuhan subsektor ternakan meningkat pada suku tahun ini.”

“Sektor pembinaan terus merosot 13.9% daripada negatif 12.4% berbanding suku tahun sebelumnya. Ini adalah selari dengan prestasi purata nilai kerja pembinaan per projek yang menyusut pada suku tahun keempat 2020,” katanya.

Sepanjang tahun lalu, sektor perkhidmatan mengalami penurunan sebanyak 5.5%, diikuti oleh pembuatan (-2.6%), pertanian (-2.2%), perlombongan dan pengkuarian (-10%) dan pembinaan (19.4%).

Sementara itu, semua komponen perbelanjaan juga mencatat pertumbuhan negatif, kecuali perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan, yang meningkat sebanyak 4.1%.

“Perbelanjaan penggunaan akhir swasta merosot 4.3% sementara pembentukan modal tetap kasar (PMTK) menguncup lebih besar kepada 14.5%.

“Selain itu, eksport bersih mencatatkan penurunan ketara kepada negatif 12.3% disebabkan prestasi eksport yang lebih perlahan berbanding import,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here