PUTRAJAYA,16 Feb: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menerima vaksin dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Katanya, perkara itu dipersetujui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memandangkan Ahli Parlimen dan ADUN biasanya berdamping rapat dengan masyarakat di akar umbi.

“Oleh sebab bentuk kerja mereka begitu rupa maka, kita setuju Ahli Parlimen dan ADUN tak kira pihak mana, akan diberi vaksin dalam fasa pertama untuk mereka menjalankan tugas secara lebih berkesan dan selamat,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya.

Turut serta Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang merupakan Pengerusi Bersama JKJAV.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa akan bermula pada 26 Feb ini dan perdana menteri akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata beliau telah meminta Dr Adham dan Khairy untuk berbincang dengan pemimpin parti politik bagi mendapatkan persetujuan mereka dan memahami keperluan menerima vaksinasi Covid-19 berkenaan.

Vaksin Covid-19 buatan Pfizer-BioNTech dijangka tiba ke negara ini pada 21 Feb, diikuti dengan pelaksanaan program imunisasi kebangsaan pada 26 Feb yang bakal mengandungi tiga fasa.

Menurut Muhyiddin, fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula 26 Feb sehingga Apr 2021. Fasa kedua pula akan bermula pada April sehingga Ogos 2021 melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi.

Bagi fasa ketiga, ia melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari Mei 2021 sehingga Feb 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here