PUTRAJAYA, 17 Feb — Kerajaan akan menandatangani kontrak pemerolehan vaksin COVID-19 Johnson & Johnson dari Amerika Syarikat dalam masa terdekat, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata setakat ini, makluman klinikal mengenai vaksin itu amat positif dan Jemaah Menteri berdasarkan syor Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), membuat keputusan untuk membeli vaksin tersebut.

“Kita masih lagi dalam proses rundingan dan dalam masa terdekat saya difahamkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba akan tanda tangan kontrak untuk kita perolehi vaksin dari Johnson & Johnson.

“…dan selepas itu baru kita akan hantar ke Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi tujuan penilaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai penyelarasan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bertujuan menguruskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, hari ini.

Beliau berkata, vaksin Johnson & Johnson merupakan vaksin satu dos.

Dalam pada itu beliau memberi jaminan bekalan vaksin COVID-19 yang merangkumi dua dos akan disimpan dengan selamat, bagi mereka yang telah menerima dos awal.

“Kita ada dasar di bawah JKJAV iaitu bila kita menerima vaksin, kita kena simpan vaksin dos kedua bagi mereka yang telah menerima vaksin sebelumnya.

“Kita ikut saranan pembekal vaksin Pfizer yang menyarankan dos kedua diberi selepas 21 hari dan kita tidak mahu mengambil pendekatan seperti United Kingdom yang melanjutkan tempoh dos kedua AstraZeneca dari sebulan ke sembilan hingga 12 minggu,” katanya.

Vaksin dua dos merangkumi vaksin dari syarikat Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac) dan CanSinoBIO, manakala vaksin satu dos daripada Sputnik V.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here