PETALING JAYA, 17 Feb: Pakar ekonomi mendesak kerajaan menamatkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang disifatkan sebagai satu-satunya punca menjejaskan ekonomi serta pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Ahamed Kameel Mydin Meera mengulas kajian Fitch Solutions Country Risk & Industry Research’s yang menjangkakan penurunan KDNK dari 10% ke 4.9%, ketika negara berdepan gelombang ketiga penularan Covid-19 sehingga menyebabkan PKP kembali dilaksanakan.

Kameel memberitahu FMT, program suntikan vaksin Covid-19 sedikit sebanyak dilihat akan membantu menangani situasi itu, tetapi bukan PKP.

Pelaksanaan PKP, kata beliau hanya akan memburukkan lag situasi ekonomi, apatah lagi sehingga kini ia tidak menunjukkan hasil memberangsangkan dari segi jumlah kes.

“Kes jangkitan yang masih tinggi tidak memberi justifikasi kepada pelaksanaan PKP.

“Inilah sebabnya kita mesti tamatkan PKP. Rawat Covid-19 seperti penyakit lain. Berikan rawatan kepada mereka yang sakit. Kuarantin mereka yang positif dengan bergejala. Biarkan negara terus beroperasi seperti biasa,” katanya.

Kameel berkata, sempadan negara juga seharusnya dibuka kepada individu yang sudah menerima suntikan vaksin.

Beliau berkata, untuk bergerak ke depan kerajaan seharusnya mengambil pendekatan bersesuain bagi mengurangkan beban ekonomi dan mengelak daripada membuat pinjaman yang hanya akan menambah hutang negara.

Juita Mohamad dari Institute of Strategic and International Studies (ISIS) berkata, jangkaan dibuat Fitch dilihat lebih meyakinkan berbanding ramalan Kementerian Kewangan yang meletakkan kadar penurunan antara 6.5 % hingga 7.5 % yang dianggap terlalu optimis.

Beliau berkata, sebagai negara perdagangan, pertumbuhan ekonomi Malaysia bergantung kepada rantaian ekonomi dunia termasuk permintaan global, perang dagang dan harga sumber tenaga.

“Dengan faktor luaran ini, pemulihan bentuk V adalah sukar untuk dicapai dalam tahun ini. Senario terbaik adalah Malaysia mencapai pertumbuhan pra-Covid iaitu kurang dari 5%, selaras dengan apa yang diramalkan oleh Fitch”.

Pakar dari Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Shankaran Nambiar bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang ramalan. Bagaimanapun, beliau menjangkakan kadar pertumbuhan antara 4.5% hingga 5.5%.

Katanya, ia boleh mencapai hingga 6% seandainya program suntikan vaksin berjalan mengikut perancangan dan kes jangkitan dapat dikurangkan.

“Apa yang penting ialah kerajaan mempunyai satu dasar yang jelas dan konsisten berdasarkan kajian sains. Sedikit kesilapan memang tidak dapat dielakkan.

“Sebagai contoh untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dan menggalakkan industri pelancongan buat masa ini hanya akan membazirkan sumber kerajaan. Pemain dalam industri berkenaan perlu diberi sokongan sehingga sektor itu benar-benar bersedia untuk dibangunkan semula,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here