PETALING JAYA,Feb 22: Pengusaha hotel berkata industri itu kini umpama ‘telur di hujung tanduk’, manakala kerajaan masih belum memberi maklum balas terhadap cadangan dikemukakan hampir tiga minggu lalu yang diharapkan dapat menyelamatkan mereka.

Sumber industri berkata, cadangan berhubung subsidi, diskaun dan pelepasan cukai adalah antara idea yang dibuat kepada kementerian pelancongan.

“Banyak idea dan cadangan diserahkan. Saban hari, tiada apa yang dilakukan, industri dan semua majikan, pekerja serta pembekal semakin nazak,” kata sumber itu.

Menteri pelancongan Nancy Shukri berkata beliau menarik perhatian Kabinet terhadap masalah dihadapi industri perhotelan dan pelancongan.

Katanya, faktor utama yang dapat memulihkan keadaan adalah pembukaan semula sempadan negeri dan daerah, namun keputusan berkenaan berada di luar kawalannya.

Sumber industri perhotelan itu berkata langkah diambil kerajaan setakat ini tidak membantu keadaan.

“Sektor lain boleh dibuka, namun bukan kami. Selagi keadaan ini berterusan, kami tidak mungkin dapat bertahan, apatah lagi pulih.”

Antara permintaan lain yang dibuat kepada kerajaan, termasuk keutamaan vaksin untuk pekerja sektor pelancongan dan hiburan, kebenaran mengadakan acara kerajaan di hotel, peningkatan subsidi upah, selain diskaun bil utiliti.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia N Subramaniam mengesahkan “tiada apa-apa respons positif” daripada kerajaan berhubung cadangan berkenaan.

“Industri hotel semakin parah, lebih 100 hotel ditutup dan banyak lagi berdepan kemungkinan ditutup,” katanya.

Nancy berkata kementerian itu amat bimbang dengan keadaan sektor pelancongan dan telah berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan, bukan saja pengusaha hotel malah juga pengusaha pelancongan.

“Dalam banyak keadaan, cabaran dihadapi kerajaan berpunca daripada jumlah tinggi kes Covid-19 setiap hari dan kegagalan mematuhi SOP,” katanya.

Faktor utama yang boleh memainkan peranan penting adalah pembukaan semula sempadan serta ekonomi, namun kedua-duanya bukan dalam bidang kuasa kementerian terbabit.

“Bagaimanapun, kami tidak akan menyerah kalah. Kami akan terus berjuang untuk industri ini supaya dapat pulih semula,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here