PETALING JAYA,24 Feb : Dua ahli ekonomi menggesa kerajaan mengkaji semula dasar pekerja asing bagi meningkatkan bilangan pekerja berbakat tinggi dari negara lain dan mengurangkan pengimportan tenaga kerja tidak mahir.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway dan Madeline Berma dari Akademi Sains Malaysia berkata, Malaysia masih terlalu bergantung kepada pekerja asing murah dan mengurangkan peluang rakyat tempatan mendapat pekerjaan dan gaji berpatutan.

Memetik kajian Bank Dunia, Yeah memberitahu FMT, gaji bagi pekerja mahir di negara ini masih rendah dan kadar pengangguran dalam kalangan graduan dan yang mendapat pekerjaan tidak setaraf kelayakan mereka masih tinggi.

“Ia diakui secara meluas yang akses mudah kepada buruh asing, bermanfaat untuk pertumbuhan output dalam jangka pendek, merencatkan peningkatan struktur, automasi serta peralihan teknologi dalam jangka panjang.

“Inilah yang berlaku jika tiada dasar agresif untuk mempercepatkan transformasi berstruktur kepada kemahiran, nilai lebih tinggi dan industri berasaskan teknologi serta aktiviti komersial.

“Kita harus mencontohi negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan Singapura, yang menggunakan dasar migrasi mahir dan berjaya menarik minat bakat terbaik dari seluruh dunia, serta tidak menggalakkan pengambilan pekerja asing tidak mahir.”

Berma memberitahu FMT mengenai keperluan untuk beralih kepada ekonomi digital yang didorong pengetahuan dan teknologi digital.

Katanya, penggunaan tenaga kerja murah terus menekan gaji pekerja dan tidak menggalakkan inovasi, perolehan kemahiran serta insentif pendidikan untuk rakyat Malaysia.

“Pekerja asing menghalang produktiviti dan pembangunan teknologi disebabkan penggantian tenaga kerja tidak mahir untuk teknologi.

“Malaysia hanya perlu mengambil pekerja asing mahir.”

Mereka mengulas gesaan bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin untuk kerajaan menggunakan kehendak politik bagi menghalang majikan mengeksploitasi tenaga buruh murah yang secara amnya tidak menguntungkan rakyat.

Laurence Todd dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, menyentuh keperluan untuk sokongan kewangan lebih besar bagi usaha pendigitalan, terutama untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kebanyakan geran pendigitalan kerajaan cenderung ke arah projek berteknologi tinggi dan berskala besar, sedangkan kita sebenarnya perlu melihat inovasi seharian dan meningkatkan PKS kita,” katanya kepada FMT.

“Untuk ini, saya fikir kita boleh melihat ke arah Jerman, ekonomi maju yang mengekalkan sektor pembuatan besar dengan memfokuskan pendidikan vokasional dan integrasi pendidikan serta industri melalui program latihan.”

Katanya, Putrajaya perlu memberi tumpuan untuk memastikan pengawal seliaan pekerja asing lebih cekap berbanding sekatan yang sukar dilaksanakan.

Yeah bersetuju dengan berkata, Malaysia perlu mencontohi negara Teluk yang kaya dengan minyak dan Singapura dalam menguruskan pekerja asingnya dengan cara sangat terkawal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here