KUALA LUMPUR, 25 Feb — Prestasi pendigitalan Malaysia pada masa ini sebenarnya bukan sahaja menunjukkan keberkesanan dasar negara malah memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi serta mencipta peluang pekerjaan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Makro), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Dr Zunika Mohamed.

Beliau berkata Malaysia sudah berada pada kedudukan 50 teratas dalam beberapa indeks antarabangsa dan ini membuktikan negara telah melangkah maju ke hadapan.

“Sebenarnya dasar (pendigitalan) bukanlah satu perkara baharu. Sebelum ini telah ada beberapa inisiatif yang dilaksanakan kerajaan, contohnya Multimedia Super Corridor (MSC) pada 1996; pada 2014 wujudnya inisiatif data terbuka, 2015 terdapatnya pelan hala tuju Internet Benda atau IoT, dan 2016 kita mempunyai pelan hala tuju strategik e-dagang kebangsaan,” katanya pada program ‘Temu Minda KKMM’ di saluran Bernama TV pada Rabu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bersiaran dalam program itu bersama-sama Zunika dan dua tetamu lain iaitu Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Mohd Ghows Mohd Azzam; dan Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan bagi mengupas tajuk ‘Antara Hidup dan Kelangsungan Hidup’.

Mengulas mengenai MyDIGITAL, Zunika berkata kerajaan sebelum itu telah mengarahkan EPU supaya menyediakan satu dasar khusus — yang akhirnya dikenali sebagai MyDIGITAL — untuk membolehkan segala gerak kerja dan aktiviti berkaitan dengan pembangunan ekonomi ini dapat diuruskan secara tersusun dan selaras.

“Perubahan pantas melanda ekonomi seluruh dunia telah menyedarkan kita untuk menguasai ekonomi digital supaya dapat terus bergerak ke hadapan.

“Pendigitalan telah mengubah tingkah laku pengguna dan kita lihat pengguna mahu urusan dapat diselesaikan dengan cepat dan mudah, selain itu kerajaan juga menyedari kita perlu buat sesuatu untuk memastikan rakyat Malaysia, syarikat-syarikat Malaysia dan kerajaan tidak tertinggal dalam arus perubahan ini,” katanya.

Beliau berkata MyDIGITAL telah dirangka sebagai satu gagasan yang disediakan untuk rakyat, syarikat dan kerajaan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB) yang dilancarkan pada 2019.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan MyDIGITAL yang menggariskan rancangan untuk mempercepat transformasi Malaysia kepada negara ekonomi maju dari segi teknologi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here