SINGAPURA, 2 Mac —  Ternyata ada sinar harapan buat bayi pramatang Malaysia yang dilahirkan di Singapura selepas kutipan derma kilat yang dilancarkan di Malaysia bagi membiayai kos perubatannya berjaya mengumpul RM1.2 juta dalam tempoh 29 jam.

“Ibu bapa dan orang ramai dari seluruh dunia telah memberi restu dan semangat kepada bayi yang dilahirkan ketika kandungan berusia 24 minggu itu agar dia berpeluang untuk terus hidup,” demikian menurut badan bukan kerajaan (NGO) One Hope Charity & Welfare yang berpangkalan di Pulau Pinang ketika mengumumkan kejayaan kutipan derma itu.

Berdasarkan pemerhatian Bernama, kutipan derma itu, yang diumumkan semalam dalam portal NGO tersebut, berakhir pada kira-kira 5.45 petang tadi selepas mencapai matlamatnya.

Ketika ini, bayi pramatang yang dinamakan Eloise Ang Xuan Rui telah menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk terus hidup, menurut One Hope Charity & Welfare dalam laman Facebooknya.

“Perkembangan pertumbuhan bayi itu adalah positif, berat badannya meningkat secara beransur-ansur dan sudah boleh diinkubasi dengan selamat sehingga proses tumbesarannya lengkap.

“Jika keadaannya stabil, hospital yang merawatnya ketika ini boleh mengatur untuk memindahkan bayi itu ke hospital di Malaysia untuk pemerhatian,” menurut NGO itu.

Ia turut berkongsi beberapa keping gambar Eloise yang memaparkan tubuhnya penuh berselirat dengan tiub.

Bayi perempuan itu dilahirkan hanya seberat 670 gram dengan saiz badan sebesar tapak tangan.

Menurut One Hope Charity, kos perubatan untuk bayi itu dianggarkan sebanyak S$400,000 atau RM1.25 juta sedangkan ibu bapanya, yang bekerja di republik itu, hanya mampu menyediakan RM50,000.

Ibu bayi itu, Koh Pei Ying, 29, melahirkan Eloise pada 22 Feb lepas pada 3 pagi selepas mengalami sakit perut sejak 19 Feb.

One Hope Charity menyatakan Eloise, yang kini berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) bagi inkubasi selama kira-kira 160 hari, dilahirkan ketika kandungan berusia kurang 28 minggu, yang menjadikan dia digelar sebagai ‘micro preemie.’

“Kulitnya hampir telus sehingga aliran darahnya dapat dilihat dengan mata kasar. Dia bukan sahaja harus dijaga dengan teliti malah perlu sentiasa dipantau meskipun jika berlaku perubahan paling kecil.

“Oleh kerana dia dilahirkan pada usia kehamilan 24 minggu, banyak organnya belum terbentuk sepenuhnya termasuk paru-paru dan otak,” menurut NGO itu tanpa mendedahkan nama hospital di Singapura di mana bayi itu ditempatkan.

One Hope Charity, yang melancarkan kempen kutipan derma kilat semalam, menyatakan bahawa langkah itu telah mencetuskan impak yang besar di seluruh dunia.

“Sumbangan bukan hanya diterima daripada para dermawan di Malaysia malah dari Singapura, Brunei, Taiwan, Amerika Syarikat dan banyak negara lain, yang mendoakan kesejahteraan bayi pramatang dengan semangat juang tinggi itu,” menurut NGO itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here