KUALA LUMPUR, 4 Mac — Keputusan UMNO mengutuskan surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk memaklumkan tidak lagi bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15, dilakukan setelah mengambil kira pandangan akar umbi.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dilakukan setelah mengadakan pertimbangan dengan cermat serta baik buruknya keberadaan dalam kerajaan, ketika rakyat berhadapan dengan pandemik COVID-19.

“Satu perjumpaan khas antara UMNO, Bersatu, dan PAS yang diwakili lima kepimpinan tertinggi bagi setiap parti telah diadakan pada 15 Feb lalu.

“Dalam pertemuan tersebut Perdana Menteri merangkap Presiden Bersatu meminta agar UMNO membuat pendirian jelas tentang kedudukan kerjasama dengan parti itu, sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan bagi menghadapi PRU Ke-15,” katanya.

Berikutan itu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah mengadakan mesyuarat pada 19 Feb untuk membincangkan lanjut tentang perkara itu, sebelum sebulat suara bersetuju untuk Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengutuskan surat bagi memaklumkan keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, katanya UMNO berpendapat kebersamaan dalam Kerajaan PN boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

Jelasnya sejak dari awal, UMNO sentiasa berpegang pada pendirian bahawa untuk memastikan perpaduan yang dibina atas sebuah pakatan atau kerjasama politik yang bertahan lama dan efeksitf, mestilah berteraskan kejujuran dan keikhlasan demi menjaga kemaslahatan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here