KANGAR, 5 Mac — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan perjumpaan dengan jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional (PN) Perlis di sebuah hotel, di sini.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menghadiri perjumpaan secara tertutup itu yang berlangsung selama dua jam dan turut dihadiri Pengerusi BPN Perlis Mohd Shukri Ramli.

Perjumpaan itu antara lain bertujuan mengesahkan pelantikan jawatankuasa BPN Perlis yang dibuat baru-baru ini selain berkongsi pandangan mengenai situasi semasa dalam negara.

Mohd Shukri yang ditemui pemberita sebaik selesai perjumpaan itu memberitahu, perdana menteri menyampaikan amanatnya dan menekankan mengenai kepentingan untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dalam menghadapi situasi COVID-19 ketika ini.

“Tan Sri (Muhyiddin) banyak menekankan permasalahan rakyat. Bagaimana kita harus membantu rakyat menghadapi COVID-19. Hasrat perdana menteri untuk memastikan kekangan ekonomi yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan.

“Perdana menteri turut menekankan mengenai penyatuan ummah untuk memastikan kekuatan pentadbiran kerajaan di peringkat pusat,” kata Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis.

Terdahulu hari ini, Muhyiddin yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini mendengar taklimat pembangunan negeri yang disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man sebelum menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid di Istana Arau.

Beliau mengakhiri lawatan kerja dengan melawat Pusat Vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Kampung Gial, di sini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here