PETALING JAYA,9 Mac: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyeru agar situasi pekerja dalam “ekonomi gig” dibincangkan, kerana kebanyakan mereka, terutamanya pekerja penghantaran, mempertaruhkan nyawa mereka setiap hari.

Timbalan Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, syarikat penghantaran sepatutnya menanggung kos melindungi pekerjanya melalui skim insurans pekerja Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Namun, isunya adalah mereka tidak menikmati hak sebagai kakitangan kerana bukan berstatus sepenuh masa.

“Itulah sebabnya kita memerlukan perbincangan mengenai ekonomi gig tetapi kita perlu melihat bagaimana akta Perkeso merangkumi pekerja gig,” kata beliau.

Sejak April tahun lalu, syarikat penghantaran Foodpanda membuat caruman Perkeso untuk penunggangnya di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.

Seorang ADUN di Selangor, Rajiv Rishyakaran, baru-baru ini menggesa kerajaan agar syarikat diperuntukkan untuk membuat caruman Perkeso bagi pihak pekerja gig mereka. Beliau berkata prestasi syarikat penghantaran sangat baik dalam tempoh wabak Covid-19 dan seharusnya menanggung kos melindungi pekerja.

Walau bagaimanapun, Persekutuan Majikan Malaysia berkata, akan ada kesan undang-undang dan ekonomi sekiranya syarikat-syarikat diminta membuat caruman Perkeso.

“Sebaik sahaja syarikat mula membuat caruman (Perkeso), pekerja-pekerja (gig) akan diiktiraf sebagai kakitangan dan pelbagai kewajipan lain akan timbul, seperti cuti tahunan, hari rehat dan banyak lagi,” kata pengarah eksekutif MEF, Shamsuddin Bardan.

“Pekerja-pekerja ini tidak dianggap kakitangan. Tanggungjawab dan kewajipan terhadap caruman kepada Perkeso tidak timbul,” kata beliau.

Effendy berkata, MTUC dapat membantu pekerja gig dengan insurans kesihatan.

“Kami juga dapat memberi nasihat dan mengarahkan mereka ke Persatuan P-Hailing”, kata beliau, merujuk kepada persatuan pekerja penghantaran bungkusan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here