PETALING JAYA,11 Mac: Sekumpulan doktor menyeru agar pengamal perubatan am (GP) dibenarkan untuk memberikan vaksin Covid-19 mengikut prinsip “siapa cepat, dia dapat” berbanding fokus kepada penilaian risiko.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow, berkata hospital dan fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) harus terus mengutamakan vaksin bagi golongan lebih berisiko.

Namun, kata beliau kepada FMT, peraturan yang sama tidak boleh diguna pakai untuk GP swasta, yang kerajaan akan libatkan dalam fasa kedua dan ketiga program imunisasi kebangsaan.

“GP harus diberdayakan untuk memvaksinasi siapa pun yang meminta untuk divaksinasi dan menyaring kes-kes di mana terdapat kontraindikasi.

“Kewujudan senarai keutamaan di peringkat GP akan melambatkan kadar vaksinasi, bukan meningkatkannya,” kata beliau, sambil menambah, melibatkan GP dalam program kebangsaan daripada awal akan membantu negara mencapai “critical mass” (jisim genting).

“Critical mass” merujuk kepada peratusan populasi diimunisasi yang cukup besar untuk mencapai imuniti kelompok.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Subramaniam Muniandy, berkata penilaian risiko adalah pendekatan yang lebih baik, tetapi kriterianya juga harus dipersetujui pakar di luar KKM.

Beliau juga menyeru agar proses pemilihan lebih telus, dan ciri-ciri individu seperti usia, komorbiditi, dan potensi pendedahan kepada virus dipertimbangkan.

Mengenai jumlah pendaftaran vaksin yang kurang memuaskan, beliau mencadangkan agar MySejahtera menghantar notifikasi melalui aplikasinya kepada mereka yang belum mendaftar.

“Apabila bekalan (vaksin) yang cukup sudah ada, hantar sahaja notifikasi tentang tarikh vaksinasi kepada mereka yang belum mendaftar dan minta mereka terima atau tolak (temujanji),” kata beliau kepada FMT.

CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib, berkata fasa ketiga program imunisasi kebangsaan sepatutnya hanya fokus kepada memberikan vaksin kepada seramai yang boleh.

“Ini bermaksud, sesiapa yang tampil harus diberi vaksin tanpa mengira status. Penekanan patut diberikan kepada memastikan orang ramai mendapat vaksin, bukan birokrasi,” kata beliau kepada FMT.

Azrul berkata, orang ramai tidak pasti sama ada mereka antara yang dipertimbangkan untuk program imunisasi, meramalkan proses untuk mendaftar sekalipun separuh daripada populasi akan mengambil masa.

“Semakin jauh mereka rasa daripada tarikh vaksinasi, semakin kurang kemungkinan mereka akan mendaftar, walaupun prosesnya mudah,” kata beliau.

Mereka mengulas cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow agar vaksin diberikan mengikut prinsip “siapa cepat, dia dapat” untuk mendorong orang ramai mendaftar awal.

Pembantu kepada Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, mengesahkan dengan FMT bahawa KKM akan mengutamakan vaksin berdasarkan penilaian risiko, seperti zon merah atau kuning, bagi fasa ketiga.

Sekiranya individu dalam kategori risiko yang sama, dasar “siapa cepat, dia dapat” akan digunakan, dengan keutamaan kepada mereka yang mendaftar lebih awal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here