PETALING JAYA, 12 Mac: Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin sudah meminta polis tidak menghukum pemberi maklumat yang membuat pendedahan berhubung individu yang melangkau giliran menerima vaksin Covid-19.

Khairy berkata, beliau sendiri sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Ketua Polis Negara (KPN) dan percaya Abdul Hamid Bador memahami permintaannya itu, memandangkan beliau juga adalah salah seorang pemberi maklumat sebelum ini.

“Setakat laporan yang dibuat, proses sewajarnya akan diambil, tetapi saya sudah meminta KPN untuk tidak menghukum pemberi maklumat.

“KPN memahaminya, beliau dahulu pemberi maklumat juga,” katanya di Twitter.

Khairy berkata demikian ketika menjawab isu dibangkitkan seorang pengguna Twitter yang mempertikaikan janji dibuatnya sebelum ini, susulan terdapat pemberi maklumat yang disiasat oleh pihak polis.

Terdahulu, Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata, pihaknya akan mengambil keterangan individu dipercayai menyebarkan dakwaan kakitangan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri cuba memotong barisan sebagai penerima awal suntikan vaksin Covid-19.

Shafien berkata, pihaknya sudah menghubungi suspek berkenaan yang berada di Putrajaya untuk menetapkan tarikh bagi merekodkan keterangan.

Polis juga memaklumkam sudah mengambil keterangan tujuh orang saksi berhubung insiden tersebut.

Khairy berkata, beliau pada awalnya tidak mahu dilihat mencampuri urusan dan tugas polis, namun terpaksa berbuat demikian memandangkan isu itu sudah menjadi perhatian umum dan penjelasan segera perlu diberikan.

“Saya mesti jelaskan bahawa saya sudah bercakap dengan KPN berhubung isu ini untuk tidak ambil tindakan terhadap pemberi maklumat.

“Saya sendiri tidak mendedahkan mana-mana pemberi maklumat yang hantar emel terus kepada saya.

“Terdapat sesetengah maklumat yang diberikan oleh pemberi maklumat digunakan untuk memperbetulkan senarai penerima yang sudah membuat temu janji,” katanya.

Khairy sebelum ini meminta mereka yang mempunyai maklumat tentang individu melangkau giliran penerima vaksin agar melaporkannya terus kepadanya.

Menurutnya, mana-mana pemberi maklumat boleh menghantar e-mel secara “anonymous” kepadanya di alamat emel kj@mosti.gov.my.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here