KUCHING, 12 Mac — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersedia menimbang cawangan tambahan kementerian itu di Sarawak sekiranya ada keperluan, khususnya bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna di negeri tersebut.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sebarang keputusan untuk membuka cawangan perlu mengambil kira beberapa faktor, antaranya ialah jumlah pengguna dan komuniti peniaga di satu-satu kawasan.

Pada masa ini terdapat sembilan cawangan dan tiga cawangan kecil di seluruh Sarawak, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Residen Serian, kira-kira 60 kilometer dari bandar raya Kuching hari ini.

“(Pembukaan cawangan baharu juga) bergantung kepada keperluan, jika kita terima maklum balas atau permohonan yang kukuh kita akan buka (cawangan),” katanya.

Sementara itu, Nanta berkata sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac tahun lalu, pegawai KPDNHEP di setiap cawangan di seluruh negara telah melaksanakan tugas yang baik.

“Kita lihat tidak ada kes yang teruk seperti pembelian panik besar-besaran atau kekurangan bekalan makanan atau kes barang naik harga secara mendadak… mungkin ada tetapi cuma kes yang kecil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here