IPOH, 16 Mac — Pusat Pemberian Vaksin (PPV)  berskala besar akan diwujudkan di semua negeri dengan pemberian vaksin kepada kira-kira 8,000 orang sehari.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata pihaknya kini sedang merangka strategi dan penyediaan peruntukan bagi tujuan tersebut.

“Arahan daripada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) hendak selesai (pemberian vaksin kepada rakyat) tahun ini juga, jadi ini akan memerlukan PPV yang berskala agak besar.

“Kita sedang melihat kepada satu PPV yang mungkin boleh (sehingga dapat) selesaikan kira-kira 8,000 (penerima vaksin) satu hari bagi fasa ketiga, sebagai contoh di Kuala Lumpur iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPV di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata pihaknya juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad untuk menyediakan PPV yang lebih besar di bandar raya Ipoh.

“Sebagai contoh, Stadium Indera Mulia hanya mampu (memberi vaksin kepada) 1,400 (orang) sehari sahaja, kalau ingin lihat kepada kapasiti lebih besar mungkin 5,000 ke atas memang memerlukan PPV yang lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menggerakkan kempen dari rumah ke rumah untuk menggalakkan penduduk terutamanya dari Kelantan, Terengganu dan Sabah, agar segera mendaftar diri sebagai penerima vaksin COVID-19.

Beliau berkata kurangnya pengetahuan dan kesedaran orang ramai terutama yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman mengenai keperluan menerima vaksin, menyebabkan pendaftaran vaksin di ketiga-tiga negeri itu paling rendah setakat ini.

“Ini disebabkan maklumat berkaitan vaksin tidak tepat yang disebar luas dalam media sosial, jadi saya akan bertemu dengan Ahli Parlimen minggu depan dan minta sokongan daripada mereka supaya menggalakkan penduduk di ketiga-tiga negeri itu melakukan pendaftaran,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata setakat ini pihak kementerian belum menerima sebarang permohonan rasmi mahupun hitam putih daripada mana-mana negeri untuk pembelian vaksin COVID-19. 

“Masalahnya sekarang ialah kekurangan bekalan, kalau hendak beli pun kita mempunyai masalah bekalan akses vaksin tersebut. Kalau mereka dapat beli saya tidak ada apa-apa masalah, kita boleh memberi kebenaran kepada kerajaan negeri untuk membuat perolehan, cuma buat masa ini kita mempunyai masalah bekalan vaksin,” katanya.

Beliau berkata negeri Pahang, Johor, Sarawak dan Selangor telah menyatakan hasrat untuk membeli sendiri vaksin sebagai tambahan kepada vaksin yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat bagi meningkatkan kapasiti program imunisasi di negeri berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Malaysia tidak layak menerima vaksin secara percuma disebabkan kedudukan negara yang dikategorikan sebagai ekonomi pendapatan pertengahan atas. 

“Kita (Malaysia) tidak layak (dapat vaksin percuma) sebab bukan dalam kategori negara berpendapatan rendah. Banyak negara lain dapat bekalan vaksin percuma dari China, India dan Rusia kerana negara itu dianggap sebagai negara berpendapatan rendah.

“Jadi, diskaun pun tidak dapat, percuma pun tidak dapat…kita kena beli sendiri untuk dapatkan vaksin,” katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan media berkata terdapat laporan yang menyatakan bahawa kerajaan India menawarkan untuk memberi vaksin secara percuma kepada beberapa negara, selain mempersoalkan sama ada Malaysia ditawarkan vaksin percuma berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here